Saturday, December 19, 2009

Kerajaan Cadang Wujud SKM Setaraf Tahap Sarjana Dan Kedoktoran

Kerajaan bercadang mewujudkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di peringkat ijazah dan kedoktoran dalam usaha mengangkat taraf kelulusan sijil kemahiran di negara ini setaraf dengan sijil akademik.


Timbalan Menteri Sumber Manusia Senator Datuk Maznah Mazlan berkata pada masa ini, ramai pihak yang memandang rendah terhadap kelulusan dalam bidang kemahiran berbanding akademik, sedangkan mereka yang mempunyai kelulusan dalam kemahiran turut memain peranan penting dalam memacu pembangunan negara.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2010, telah memberi pengiktirafan SKM tahap empat dan lima yang setaraf dengan diploma dan diploma lanjutan.

Katanya pengiktirafan itu merupakan satu simbolik perubahan sikap dalam keperluan negara terhadap keperluan tenaga mahir, ditambah lagi Malaysia sedang menuju ke arah negara maju.

"Sehubungan itu, kementerian merasakan amat perlu kita mewujudkan SKM di peringkat iaitu di peringkat enam dan tujuh iaitu menyamai pengajian di peringkat sarjana dan kedoktoran," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Graduasi Institut Kemahiran Bestari (IKB) di sini Khamis.

Mengulas lanjut, Maznah berkata perkara itu masih dalam peringkat kajian dan akan dilaksanakan apabila lebih 1,000 pusat latihan yang ada di seluruh negara bersedia termasuk daripada segi tenaga pengajar.

Dalam majlis itu, 200 pelatih IKB dalam bidang jahitan dan teknologi pemesinan logam menerima sijil tamat latihan masing-masing daripada Maznah.

No comments:

Post a Comment