Friday, December 4, 2009

Main bola sepak dalam hujan

Tidak banyak pihak mahu mengadakan sebarang program ketika musim tengkujuh kerana ia bakal mengundang masalah.


Bagaimanapun keadaan sebaliknya berlaku apabila Persatuan Bola Sepak Daerah Setiu (PBDS) menganjurkan Kejohanan Bola sepak Sembilan Sepasukan Piala Monsun 2009 baru-baru ini.

Kejohanan dua hari itu terbuka kepada pasukan bola sepak di daerah itu dan ia berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana di sini.

Sebanyak 28 pasukan bola sepak di daerah Setiu menyertai pertandingan itu yang terbahagi kepada empat kumpulan.

Yang Dipertua PBDS, Marzuki Sulong berkata, pihaknya berpuas hati dengan penganjuran yang disertai pemain dari golongan remaja dan veteran itu.

"Ia mendapat sambutan memuaskan meskipun mereka terpaksa bermain dalam keadaan cuaca yang tidak menentu,'' katanya.

Menurutnya, persatuan itu menamakan Piala Monsun kerana kejohanan itu agak mencabar dan diadakan pada musim tengkujuh.

Katanya, para pemain terbabit dapat juga beraksi di atas padang yang dipenuhi air hujan walaupun ada di kalangan mereka terjatuh atau menyepak bola tidak tepat pada sasarannya.

Pasukan JKR Setiu muncul johan dan mendapat hadiah wang tunai RM2,000, tempat kedua Guntong Town A (RM1,500), Guntong Town B (RM1,000) dan keempat (RM500).
Sumber: UtusanOnline

No comments:

Post a Comment