Friday, December 4, 2009

Sukma 2010 - Terengganu Yakin Dapat Capai Sasaran 64 Pingat Emas

Terengganu yakin akan mencapai sasaran 64 pingat emas pada Sukma XIII di Melaka tahun depan dengan tambahan sembilan jenis sukan baru.


Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata sembilan sukan baru itu ialah kanu, lawan pedang, judo, tenis, ragbi, kabaddi, formula future, bola tampar dan golf.

"Keyakinan ini berasaskan kepada kenu dan formula future yang kita jangka banyak menyumbangkan pingat kepada kita," katanya kepada pemberita selepas majlis suaimesra persatuan sukan berpotensi memenangi pingat Temasya Sukma XIII Melaka 2010, di Kuala Terengganu, semalam.

Abdul Rahin berkata dalam sukan formula future, anak-anak Terengganu pernah menyertai kejohanan peringkat dunia di Itali tahun lepas dan ini mencerminkan Terengganu mempunyai kedudukan tinggi dalam sukan tersebut di Melaka nanti.

Beliau berkata Terengganu agak ke hadapan dalam mempersiapkan atlet formula future yang mempunyai masa depan yang cerah dalam sukan berkenaan.

Terengganu, juara Sukma XII Terengganu 2008, memperoleh 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa dan yakin dapat mengulangi sekali lagi kecemerlangan tahun depan.

Abdul Rahin berkata sebelum ini Terengganu menyasarkan 51 pingat emas melalui angkat berat, akuatik, berbasikal, bola sepak, boling padang, hoki wanita, karate, memanah, menembak, olahraga, pencak silat, sepaktakraw, tinju, ekuestrian dan silambam.

Beliau berkata insentif dan elaun daripada kerajaan negeri telah diberikan kepada pengurus-pengurus sukan bagi memastikan sukan-sukan berkenaan cemerlang dalam kejohanan dwi-tahunan itu.

No comments:

Post a Comment