Tuesday, December 8, 2009

PBT perlu pastikan beri perkhidmatan terbaik

Pihak berkuasa tempatan (PBT) harus sentiasa memastikan mereka memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat selaku pelanggan, kerana khidmat PBT adalah antara wadah utama yang menjadi kayu pengukur dan penanda aras tahap kualiti perkhidmatan pihak kerajaan kepada rakyat.


Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mokhtar Nong, berkata perkhidmatan PBT yang tidak mencapai jangkaan rakyat boleh menjejaskan reputasi keseluruhan pentadbiran kerajaan negeri di mata rakyat, yang beranggapan perkhidmatan diberikan tidak berkualiti.

“Peranan dan fungsi PBT dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam adalah sangat penting. Bagi kebanyakan orang, apabila mereka berurusan dengan pihak PBT, maka itulah kerajaan mereka. Dalam erti kata lain, pada pandangan orang ramai, sekiranya mutu perkhidmatan diberikan PBT, maka baiklah mutu perkhidmatan awam atau kerajaan.
“Tetapi, sekiranya perkhidmatan diberikan tidak mencapai ekspektasi diharapkan, maka mereka juga beranggapan bahawa itulah tahap kualiti perkhidmatan yang diberikan kerajaan kepada mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Local Agenda 21 (LA21), Marang semalam.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Daerah Marang (MDM), Mohd Elias Nik dan Pegawai Daerah Marang, A Rahman Che Ali.

Justeru, Mokhtar berkata, program Bengkel LA21 Marang itu diharap mampu menjadi wadah baru kepada warga MDM termasuk PBT keseluruhannya untuk memberi perkhidmatan kepada orang ramai dan dalam masa mendekati penduduk setempat.
LA21 adalah program dirancang PBT bagi mewujudkan pembangunan mapan di bawah kawasan pentadbiran yang menekankan pembabitan tiga pihak iaitu PBT, masyarakat serta sektor swasta yang bekerjasama untuk merancang dan membangunkan kawasan persekitaran ke arah pembangunan mapan dan kualiti hidup lebih tinggi.

Mokhtar berkata, bagi melaksanakan LA21 Marang, MDM perlu mengambil beberapa langkah bagi memperkasakan program itu iaitu menangani keperluan ekonomi, sosial dan alam sekitar; merumus wawasan masa depan yang mapan berdasarkan kesepakatan dan membabitkan masyarakat tempatan.

“Selain itu, bagi memastikan ia berjaya, kita juga perlu wujudkan badan atau forum yang terdiri daripada pihak berkepentingan untuk pengurusan, merumuskan pelan tindakan dengan sasaran tertentu, mewujudkan rangka kerja pemantauan dan laporan perkembangan projek, selain merumuskan petunjuk pembangunan mapan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, usaha keras PBT dan kerajaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tidak akan berjaya sekiranya masyarakat setempat, persatuan atau syarikat tidak memberi kerjasama yang baik.
“Sebagai masyarakat setempat dan individu yang terbabit, segala pendapat diberikan akan diambil kira dalam perancangan dan pelaksanaan program untuk meningkatkan kualiti hidup. Ini kerana PBT adalah pihak yang lebih peka kepada keperluan masyarakat setempat.

“Pelaksanaan LA21 yang baik juga akan membolehkan masyarakat setempat dan persatuan atau syarikat menjalankan program dengan lebih berkesan kerana adanya kerjasama daripada pihak berkepentingan, selain memberi peluang untuk merancang dan menguruskan pembangunan alam sekitar dengan PBT,” katanya.

No comments:

Post a Comment