Mulai 1 Januari ini, orang ramai yang menggunakan perkhidmatan bas bandar yang mula diperkenalkan pada 2007 akan dikenakan tambang RM1 dan RM2.
Caj RM1 dikenakan untuk laluan dari pusat bandar ke Chendering dan laluan ke Taman Tamadun Islam
(TTI) manakala RM2 untuk perjalanan ke Batu 6 sehingga Gong Badak.
Bas bandar kendalian Cas Ligas Sdn. Bhd. anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) turut mengenakan caj serupa ke atas penumpang yang berusia tujuh tahun ke atas.
Pengurus Operasi Cas Ligas Sdn. Bhd., Mohd. Asri Hassan berkata, setakat ini, perkhidmatan sedia ada hanya membabitkan laluan ke Chendering dan TTI manakala laluan baru akan ditambah untuk perjalanan ke Gong Badak.
"Untuk laluan ke Batu 6 sehingga Gong Badak, bas akan singgah di Pulau Duyong dengan caj tambang RM1 dan jika penumpang nak ke Batu 6 atau Gong Badak, mereka perlu bayar RM1 lagi," katanya kelmarin.
Turut hadir, Pegawai Unit Pembangunan PMINT, Norzihan Abdul Karim dan Eksekutif Kewangan Cas Ligas Sdn. Bhd, Lezawati Jusoh.
Bas bandar jenis Hino dan Nissan berbadan kayu itu mula diperkenalkan dua tahun lalu yang beroperasi di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu untuk kemudahan pelancong secara percuma.
Mengulas lanjut Mohd. Asri memberitahu, buat masa ini terdapat enam buah bas bandar dan jika mendapat sambutan, kenderaan itu mungkin ditambah pada masa akan datang demi kemudahan dan keselesaan orang awam.
Beliau menjelaskan, tambang itu dikenakan setelah mengambil kira dari segi keperluan untuk menampung kos operasi bas berkenaan ketika ini.
Katanya, setiap laluan akan membabitkan enam trip pada setiap hari mulai pukul 9 pagi hingga 7 malam untuk laluan ke Chendering dan Gong Badak dari pukul 11 pagi hingga 4.30 petang untuk ke TTI.
"Kita harap orang ramai gembira dengan perkhidmatan baru mulai 1 Januari ini, caj yang dikenakan lebih rendah berbanding bas awam lain selain dilengkapi pendingin hawa dan mesin tiket berharga RM84,000 untuk enam buah bas bandar," tambahnya.
Mohd. Asri menambah setiap bandar akan dilengkapi dengan Electronic Ticketing Machine bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada orang ramai untuk membayar tambang perjalanan.
Katanya, sistem itu adalah yang pertama diperkenalkan oleh syarikat bas di negeri ini di mana fungsi dan penggunaannya adalah sama seperti yang digunakan oleh syarikat bas besar dan terkenal seperti RapidKL, Mara Liner, Nadi Putra dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment