Janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menambah peruntukan bantu mangsa banjir melegakan rakyat.
Kenyataan itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BNN), khususnya kerajaan pusat peka dengan masalah rakyat.
Di Kuala Terengganu beberapa hari lalu Perdana Menteri berjanji jumlah bantuan untuk mangsa banjir akan ditambah bagi meringankan bebanan yang ditanggung mereka.
Katanya untuk tahun ini sahaja, kerajaan membelanjakan sebanyak RM55.6 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bencana Negara untuk mangsa banjir di seluruh negara.
"Jumlah ini akan terus meningkat kerana kita belum beri bantuan sepenuhnya. Macam hari ini, kita baru beri RM300 sebagai pendahuluan, lepas ini kita akan beri lagi bantuan yang jumlahnya akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pejabat Daerah.
"Nampaknya bukan saja banjir berlaku dua tiga pusingan, tapi bantuan banjir pun dua tiga pusingan juga," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan wang ehsan banjir kepada 363 mangsa banjir dari 10 pusat pemindahan dari daerah Kuala Terengganu di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak.
Beliau turut menjelaskan kerajaan juga telah memutuskan untuk membantu mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan, namun ia perlu disahkan terlebih dahulu.
"Kerajaan akan meneruskan dasar membantu mangsa banjir, kalau dulu kita beri bantuan kepada mereka yang berpindah sahaja, kali ini, kita beri bantuan kepada mereka yang pindah ke pusat-pusat pemindahan dan kepada mereka yang tak pindah pun.
"Kalau dah disahkan mereka tergolong sebagai mangsa banjir, kita akan beri bantuan. Tapi kena sah dululah, jangan air naik sejengkal kita kata kita mangsa banjir. Inilah kerajaan kita yang prihatin dan cakna kepada rakyat," katanya.
Katanya kerajaan pusat juga akan berbincng dengan kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian jangka panjang masalah banjir yang melanda saban tahun, yang antara lain disebabkan proses pembangunan yang tidak lestari.
Mengulas lanjut dalam sidang media kemudiannya, beliau berkata selain bantuan wang ehsan, kerajaan juga menyediakan peruntukan khas untuk membantu dari segi kerosakan hasil tanaman atau ternakan akibat banjir yang berlaku.
"Malah, ada juga peruntukan untuk pemulihan infrastruktur yang rosak akibat banjir, tak ada negara lain di dunia yang beri banyak mana yang kita beri," katanya.
Perdana Menteri turut mendoakan mangsa banjir bersabar menghadapi ujian termasuk mereka yang terpaksa berpindah beberapa kali kerana ancaman banjir.
No comments:
Post a Comment