Tuesday, December 29, 2009

Sukan bantu pembangunan modal insan

Kakitangan Kumpulan Golden Pharos Berhad (GPB) diharap mengambil kesempatan daripada pesta sukan tahunan bagi menjalin jaringan kerja lebih erat, seterusnya menjurus ke arah peningkatan mutu kerja dalam semua anak syarikat Kumpulan GPB.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GPB, Nasruddin Salim berkata, pesta sukan tahunan itu juga dilihat medan terbaik memupuk kesedaran kakitangan terhadap kepentingan penjagaan kesihatan.

“Kita perlu mengubah minda dan persepsi bahawa sukan bukan setakat aktiviti rekreasi bagi memenuhi masa lapang sahaja tetapi turut berperanan dalam pembangunan modal insan berkualiti, berdaya saing dan berketerampilan, seiring aspirasi meningkatkan produktiviti negara.

“Semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan kakitangan mampu melatih diri mempunyai minda terbuka dan sanggup menerima serta responsif dengan pelbagai situasi,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Pesta Sukan GPB 2009 kali ketiga yang berlangsung di Dewan Seri Amar Diraja, Maklagam, Kemaman.

Perasmian majlis penutup disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Nasruddin berkata, bersukan juga mampu mengekalkan kesihatan fizikal, membina kekuatan mental seperti mengawal emosi, fokus menyusun strategi dan membina semangat berpasukan.

“Di sini, kita boleh melihat kekuatan mental dan fizikal mampu mempengaruhi corak permainan dalam pertandingan.

“Menang ataupun tewas, ia perlu diterima dengan hati terbuka, justeru, tidak timbul konflik dan rasa tidak puas hati dalam kalangan peserta,” katanya.

Menurutnya, pesta sukan itu akan terus dilaksanakan pada tahun akan datang demi memantapkan organisasi Kumpulan GPB supaya teguh dan utuh.

Sementara itu, pada pesta sukan berkenaan, daripada enam pasukan anak syarikat bertanding, Pesama Timber berjaya muncul juara keseluruhan, sekali gus layak membawa pulang hadiah tunai dan hadiah iringan lain.

No comments:

Post a Comment