Tuesday, January 5, 2010

Terengganu teruskan program tanam sawit di halaman rumah

Kerajaan Terengganu memperuntukkan kira-kira RM500,000 untuk program tanaman kelapa sawit di halaman kediaman dalam usaha meningkatkan pendapatan isi rumah penduduk miskin negeri itu bagi tahun 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Rozi Mamat berkata program itu adalah lanjutan kepada projek buku hijau yang dilancarkan kerajaan tidak lama dulu.

"Rakyat jangan salah tafsir dengan mengatakan kerajaan menyediakan peruntukan RM100 juta bagi program ini. Sebenarnya peruntukan yang besar itu adalah untuk projek membuka ladang bagi membasmi kemiskinan di negeri Terengganu yang memerlukan peruntukan besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan anak-anak kelapa sawit kepada 61 penduduk Kampung Padang Setar, Tersat, Hulu Terengganu di sini untuk ditanam di sekitar rumah. Turut dihadir pada majlis itu Pengarah Pertanian Terengganu Mohd Yusof Maidin.

Program itu dimulakan pada Disember tahun lepas dan kerajaan negeri telah mengagihkan anak kelapa sawit kepada 15 buah kampung melibatkan peruntukan RM300,000.

Sementara itu Mohd Yusof ketika berucap di majlis itu mempelawa penduduk negeri itu menanam buah naga yang mudah dijaga dan boleh ditanam di sekitar perkarangan rumah.

"Buah ini cukup berkhasiat. Jika orang ramai minat menanam, kita sedia agihkan benih untuk ditanam di tepi-tepi rumah. Lagi pun ia enak dimakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment