Sunday, February 14, 2010

3 gelanggang rakyat di DUN Kuala Besut

Tiga buah Gelanggang Rakyat berharga RM450,000 sedang disiapkan bagi menyediakan lebih banyak kemudahan bersukan dan rekreasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, kemudahan gelanggang serba guna itu sedang dibina di Kampung Tok Has, Kampung Gong Nering dan Kampung Pantai.

Katanya, ketiga-tiga gelanggang yang mengandungi kemudahan gelangang futsal, sepak takraw, bola jaring, bola tampar dan badminton itu dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi,
''Sebelum ini pihak kerajaan sudahpun menyiapkan sebuah gelanggang futsal tertutup berharga RM250,000 di Kampung Lay Out Tok Saboh yang menjadi tumpuan golongan belia dan dewasa," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pembinaan gelanggang rakyat di Kampung Gong Nering Kampung Baru, semalam.

Dalam rangka program turun padang anjuran Pusat Khidmat ADUN Kuala Besut itu, beliau turut menziarahi golongan warga emas yang uzur dan golongan miskin bagi menyampaikan sumbangan.

A. Rahman berkata, dengan adanya gelangang terbabit, masyarakat terutama golongan muda tidak lagi menghadapi masalah untuk mengadakan aktiviti sukan dan rekreasi.

Apa yang penting, katanya, kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan yang membabitkan perbelanjaan yang besar itu perlu dimanfaatkan oleh masyarakat dengan sebaik mungkin.

Kemudahan itu juga, tambahnya, membuktikan kerajaan tidak pernah mengabaikan minat dan kecenderungan golongan belia untuk menyertai aktiviti yang bermanfaat bagi melahirkan generasi sihat.

''Tidak ada sebab lagi untuk menyalahkan kerajaan tidak prihatin kepada rakyat kerana lebih banyak lagi kemudahan yang sedang dan akan dilaksanakan bagi memenuhi keperluan masyarakat," katanya.

No comments:

Post a Comment