Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Ariffin Embong menyifatkan tindakan seorang guru Bahasa Inggeris yang merotan sekumpulan murid Tahun Empat di sebuah sekolah rendah di Dungun sebagai perbuatan tidak betul dan tidak wajar dilakukan oleh seorang bergelar guru.
:Menurut Ariffin, tidak sepatutnya guru itu bertindak merotan secara melulu, apatah lagi sehingga menyebabkan beberapa murid mengalami kecederaan.
“Tindakan guru itu tidak betul dan setakat ini guru besar sekolah tersebut telah memanggil guru terbabit untuk menyiasat kejadian sebenar serta memberi nasihat.
:“Buat masa ini kita berikan peluang kepada pihak sekolah untuk menyelesaikan kes itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang guru yang naik berang lantas merotan sekumpulan mu-ridnya dikatakan gagal memakai tag nama seperti dilaporkan kelmarin.
Akibat kejadian berkenaan, beberapa murid yang cedera kerana disebat beberapa kali dengan rotan turut membuat laporan di Balai Polis Dungun.
Malah, ibu bapa murid yang menjadi mangsa rotan itu turut melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana beranggapan guru terbabit tidak sepatutnya menghukum kesalahan sehingga mencederakan murid.
Kata Ariffin, sekiranya kes itu tidak dapat diselesaikan di peringkat sekolah ia akan dibawa ke Jabatan Pelajaran Negeri.
“Kita harap kes ini dapat diselesaikan di peringkat sekolah, jika tidak, kita akan ambil tindakan lanjut,” katanya.
No comments:
Post a Comment