Sunday, February 28, 2010

5,000 sambut Maulidur Rasul


Walaupun terpaksa berkerusi roda, Ustaz Ismail Ishak (kanan) tetap memimpin bacaan selawat kontinjen Majlis Bandaraya Kuala Terengganu ketika perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Terengganu di Kuala Terengganu Jumaat lalu.

Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Stadium Negeri Jumaat lalu disambut meriah dengan kehadiran lebih 5,000 umat Islam dari seluruh negeri.

Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan acara perarakan yang dimulakan seawal pukul 8 pagi melibatkan 3,855 peserta.

Kesemua mereka terdiri daripada 109 kontinjen mewakili jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah, pasukan beruniform, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan sukarela.

Perarakan sejauh kira-kira dua kilometer itu bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini ke perkarangan Stadium Negeri yang diketuai oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Panglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Turut menyertai perarakan ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat; Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah dan barisan Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Hadir sama ialah isteri Tengku Baderulzaman, Toh Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail.
Pada majlis tersebut, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud turut mencemar duli menyampaikan hadiah kepada beberapa pemenang yang menyertai pelbagai acara yang diadakan sempena sambutan itu.

Antara acara yang diadakan ialah pertandingan menulis, pidato, menulis khat dan perarakan.
Bagi pertandingan perarakan, antara kontinjen yang memenangi pertandingan tersebut ialah Jabatan Hal Ehwal Negeri Terengganu, Yayasan Islam Terengganu, Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Mizan Zainal Abidin, Taman Tamadun Islam dan Akademi Bomba Wakaf Tapai
Terdahulu, Khazan dalam ucapannya berkata, umat Islam masa kini berdepan dengan pelbagai masalah terutamanya lemah dalam bidang ilmu pengetahuan berbanding bangsa-bangsa lain.

Katanya, kelemahan tersebut menyebabkan umat Islam ketinggalan di belakang serta membawa kepada wujudnya kelemahan-kelemahan lain.

"Sekiranya umat Islam lemah dalam ilmu pengetahuan akan menyebabkan mereka lemah akidah, ekonomi dan sebagainya.

"Kelemahan tersebut akan menyebabkan umat Islam hilang kehebatan dan mudah untuk dipermainkan oleh orang bukan Islam," katanya.

Tambah beliau, tema sambutan Maulidur Rasul kali ini iaitu "Memantapkan Ukhuwah Memperkasakan Ummah" adalah tepat dan kena pada masanya.

"Ini kerana perbalahan dan berpuak-puak di kalangan umat Islam akan melemahkan umat sendiri selain memberi peluang kepada orang luar untuk mengambil kesempatan menangguk di air keruh," jelasnya.

No comments:

Post a Comment