Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata MCA Terengganu telah diarah mengambil tindakan segera untuk membaiki tokong bersejarah Ho Ann Kiong yang hampir musnah dalam kebakaran Isnin lepas.
Menulis dalam blognya, Ong berkata beliau dimaklumkan bahawa tokong itu dibina pada awal 1800-an oleh komuniti Hokkien dan merupakan struktur tertua di Terengganu.
"Semasa saya berkempen ketika pilihan raya kecil Kuala Terengganu tahun lepas, saya difahamkan ramai penduduk tempatan bersembahyang di situ," katanya.
Tokong di Kampung Cina Kuala Terengganu itu terbakar pada pukul 9.30 malam Isnin lepas.
Kebakaran sebuah tokong berusia lebih 200 tahun itu disebabkan satu colok yang terjatuh ke lantai dan tidak ada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu, kata polis.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, mengikut laporan yang diterimanya daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, 80 peratus daripada tokong itu hangus dalam insiden kejadian pada 9.30 malam itu.
Mohd. Shukri berkata, laporan berhubung jumlah kerugian belum diterima kerana ia masih dalam siasatan.
Dalam tulisan di blognya itu juga, Ong merakamkan ucapan takziah untuk keluarga Teng Wen Yan, 10, dan Teng Dee Seng, 7, yang terkorban dalam kebakaran yang memusnahkan dua rumah kedai di Jitra, Kedah semalam.
Ong yang juga Menteri Pengangkutan berkata tragedi di Jitra itu tidak sepatutnya berlaku terutama ketika sambutan Tahun Baru Cina dan berharap keluarga itu tabah menghadapi cabaran.
Beliau berkata MCA Kedah telah diminta menghulurkan bantuan yang diperlukan keluarga itu. Dalam kebakaran awal pagi semalam, dua beradik terkorban manakala datuk mereka cedera.
Mayat Wen Yan, dan adiknya Dee Seng, kedua-duanya murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, Jitra, ditemui di dalam bilik di tingkat satu, rumah kedai itu.
No comments:
Post a Comment