Pejabat Peguam Negara (AG) akan memohon perintah agar Zamil Ahmad Murad, suspek dalam satu kes pembunuhan, dilepaskan tanpa dibebaskan kerana bukti menunjukkan tertuduh bertindak demikian kerana mempertahankan diri.
Zamil, 48, seorang jurulatih skuad menembak Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kelmarin atas tuduhan membunuh Haikar Iskandar Syed Mazhar, 34.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut antara pukul 4 dan 4.30 petang pada 1 Februari lalu berhampiran kawasan semak di belakang rumah beralamat Lot No 19347 di Gong Badak.
Dalam kenyataan hari ini, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, keputusan mengemukakan permohonan itu dibuat setelah beliau meneliti laporan terperinci tentang kes itu yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.
"Setelah meneliti dengan lebih lanjut faktanya, saya berpendapat, ada bukti menunjukkan bahawa suspek telah mengambil tindakan tersebut bagi menyelamatkan diri,” katanya.
Dalam kejadian itu, Zamil didakwa menembak lelaki itu yang dipercayai cuba menceroboh untuk memecah masuk rumahnya.
Mangsa dikatakan mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk kes pecah rumah, penyalahgunaan dadah dan pernah dikenakan hukuman penjara dan dibuang daerah.
– Bernama
No comments:
Post a Comment