Lembaga Penasihat Santuari Penyu (LPSP) bimbang dengan trend semasa yang menjadikan daging penyu sebagai bahan makanan.
Pengerusi LPSP yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah berkata gaya hidup masyarakat di sesetengah negara telah menjadikan daging penyu sebagai hidangan mereka.
"Kita bimbang melihat kerakusan manusia yang membunuh dan memakan daging penyu yang pada suatu masa nanti, kita khuatir spesis berkenaan akan pupus," katanya semalam.
Sehubungan itu Mazlan berkata, LPSP akan memberi tumpuan serius terhadap usaha pemuliharaan penyu bagi memastikan spesis tersebut tidak pupus di masa depan.
"Kita kini dalam usaha meningkatkan lagi prasarana dan mengekalkan beberapa pusat santuari penyu yang sedia ada untuk tujuan pengalakan penetasan telur penyu," katanya.
Mazlan berkata penyu belimbing adalah antara penyu yang dilihat semakin pupus di mana tahun lepas bilangan penyu belimbing yang mendarat untuk bertelur di Rantau Abang hanya seekor.
Selain penyu, pihaknya juga turut memberi perhatian serius kepada pemuliharaan tuntung terutama di sungai Terengganu, Dungun dan Setiu, katanya.
No comments:
Post a Comment