Oleh Pak Ku Sulaiman
Sebagai orang yang lama tinggalkan Terengganu, saya rasa harga makanan di Terengganu, khususnya Bandar Kuala Terengganu agak mahal.
Malah, ada rakan saya mengatakan ia lebih mahal berbanding Lembah Kelang atau Melaka.
Pendapat ini sealiran dengan kenyataan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu, baru-baru ini.
Berikutan itu, baru-baru ini ada seruan supaya pengguna menggunakan kuasa beli mereka untuk menjamin kenaikan harga makanan tidak berlaku di Terengganu.
Malah, pengguna di negeri ini boleh menggunakan kuasa beli di tangan mereka untuk memboikot atau tidak membeli makanan di kedai makan ataupun restoran yang mengenakan harga terlalu mahal.
Berjayakah kempen atau seruan ini?
Apakah pengguna di Terengganu mendengar atau mematuhi nasihat sebegini?
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu, Mohd Hilmi Mohd Noor berkata baru-baru ini, pengguna boleh mengambil pendekatan berkenaan bagi mengajar peniaga supaya tidak mengambil kesempatan terhadap pengguna.
“Harga makanan mahal di negeri ini yang lebih mahal dari Lembah Klang bukan isu baru, malah kami sering membincangkannya namun tiada penyelesaian dapat dicapai.
“Saya juga pernah turun padang bertanyakan isu ini kepada peniaga dan mereka mengakui, terpaksa meletakkan harga agak tinggi kerana bekalan bahan mentah seperti ikan, ayam serta daging juga diperoleh dengan harga agak mahal,” katanya.
Mohd Hilmi berkata, kebanyakan bekalan bahan mentah yang diperoleh peniaga di negeri ini datangnya dari negeri lain menyebabkan harganya juga lebih mahal.
No comments:
Post a Comment