Saturday, February 20, 2010

Derhaka kepada ibu kerana dadah

Sumber: Berita Harian

"Disebabkan ketagihan pil kuda yang melampau, saya sanggup bertindak luar batasan memukul ibu dan bapa dengan batang kayu sehingga berdarah di dahi dan patah gigi. Walaupun mereka sudah memaafkan perbuatan itu, rasa kesal tidak boleh lenyap dari diri saya, malah dosa itu sentiasa menghantui hidup sehingga kini," kata remaja yang menjadi mangsa gejala sosial liar dan hanya mahu dikenali sebagai Amin.



Remaja berusia 15 tahun itu mengakui ketagihan pil kuda menyebabkan dia panas baran sehingga sanggup mencederakan ahli keluarga sekiranya permintaannya tidak dipenuhi, terutama ketika dia memerlukan wang untuk mendapatkan bekalan bahan terlarang itu.

Menceritakan detik hitam itu, Amin yang pernah bekerja di sebuah bengkel, berkata dia mula terjebak dalam kancah penagihan itu selepas ditawarkan pil itu oleh sepupu lelakinya yang berusia 30-an dan dia yang pada mulanya menyangka pil itu hanya sebiji panadol terus mencuba.

“Apabila saya cuba, memang rasa sangat ‘best’... saya boleh layan kepala hingga saya rasa tidak boleh hidup tanpa pil kuda. Dua tahun saya menghambakan diri pada benda haram ini hingga lupa pada tanggungjawab sebagai pelajar dan anak yang perlu menghormati ibu bapa.

“Saya akan makan dua biji pil kuda itu setiap hari dan selama dua tahun duit gaji saya banyak dihabiskan dengan membeli pil kuda ini yang berharga RM25 sebiji,” kata remaja yang juga anak kedua dari enam beradik itu.

Mengimbau kejadian dia memukul ibunya dengan batang kayu, Amin yang kini mengikuti program pemulihan di Pusat Pemulihan Madrasah Khairul Insan, Jenagor, Hulu Terengganu sejak empat bulan lalu berkata, ia berlaku tanpa sedar, apabila dia yang sedang tidur terasa seperti dipaksa oleh bapanya untuk menunaikan solat Zuhur.

“Ketika itu saya sedang lena tidur selepas menelan dua biji pil kuda. Tiba-tiba terdengar suara ayah menegur saya untuk solat Zuhur, tetapi saya tidak sedar. Saya rasa seperti ada orang ajak saya bergaduh lalu saya tumbuk muka ayah dan pada masa sama, emak datang menahan tindakan saya. “Kerana berang, saya terus mencapai batang kayu berdekatan dan memukul ibu dan bapa sehingga berdarah dahi dan patah gigi. Selepas kejadian itu, saya keluar rumah dan melepak bersama rakan di pondok berhampiran. Dalam perjalanan pulang sekumpulan polis datang memberkas saya,” katanya.


PUSAT Pemulihan Madrasah Khairul Ihsan, Jenagor menjadi tempat bagi penagih menjalani pemulihan.

Amin berkata, dia bersyukur ditangkap polis kerana sedar sudah terlalu jauh tersasar dari landasan hidup sebenar dan kini dia mengakui berasa tenang apabila berada di pusat pemulihan itu yang banyak mengajar hal keagamaan dan membentuk dirinya ke arah lebih baik.

Turut menceritakan pengalaman sama, Zul berusia 16 tahun dan mula mengambil dadah sejak Tahun Lima lagi, mengakui dia kesal dengan tindakan sumbangnya, malah pernah bertindak ganas dengan menerajang ibunya gara-gara kemaruk ingin membeli dadah.

“Saya menyesal dengan perbuatan masa lalu dan berharap ibu dapat mengampunkan dosa silam saya. Sebagai bekas penagih yang kini menjalani proses pemulihan di sini, saya akan gunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk pulih,” kata remaja yang berasal dari Selangor itu.

Dua remaja itu adalah antara 80 bekas penagih yang menjalani pemulihan di Madrasah Khairul Ihsan yang terletak kira-kira 500 meter dari darat dan hanya boleh dilalui melalui jalan sungai, tanpa dilengkapi bekalan air dan elektrik. Kehidupan penghuni di sini banyak diisi dengan aktiviti keagamaan, solat berjemaah beramai-ramai dan muhasabah diri.

No comments:

Post a Comment