PAS menentang sebarang campur tangan kuasa asing termasuk Australia terhadap proses perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mahu negara asing menghormati Malaysia sebagai negara berdaulat dan merdeka serta tidak campur tangan dalam hal ehwal negara, termasuk proses perbicaraan Anwar.
Bagaimanapun, katanya, PAS mahukan proses perbicaraan kes liwat Anwar dijalankan secara adil dan mengikut tuntutan agama.
“(Bagi) saya sebagai rakyat Malaysia, (perbicaraan kes liwat Anwar) tak perlu ada campur tangan asing. Apa lagi negara luar, Barat dan negara bukan Islam. Jika kita melakukan dengan adil, orang asing takkan berani campur tangan," katanya ketika diminta mengulas pendirian PAS berikutan campur tangan Ahli Parlimen Australia terhadap perbicaraan kes liwat Anwar.
Akhbar baru-baru ini, memetik agensi berita asing melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Bagi Hal Ehwal Luar Parlimen Australia, Micheal Danby dipetik sebagai berkata, pendakwaan liwat kali kedua terhadap Anwar adalah sesuatu yang memalukan sistem demokrasi di Malaysia.
Selasa lalu, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat Amerika Syarikat (AS), John Kerry turut menyatakan mahu perbicaraan kes liwat Anwar dijalankan secara adil dan saksama, namun sehingga kini AS belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perbicaraan kes itu.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, institusi kehakiman negara perlu diperkemas supaya lebih diyakini rakyat tanpa ada kawalan kerajaan kerana apa yang berlaku sekarang menimbulkan krisis dan mengikis keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman negara.
"Sistem kehakiman kita berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang ada kepentingan politik serta tidak ada pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman. Ini yang menghilangkan keyakinan rakyat.
"Sebab itu, kita mahu pemisahan kuasa berlaku. Barulah institusi kehakiman ada kewibawaan dan kehebatan. Ia perlu bebas dan diletak di bawah Parlimen atau Majlis Raja-Raja supaya apa yang disebut raja berpelembagaan dipraktikkan dengan tepat," katanya selePAS merasmikan Karnival Himpunan Pemuda Islam Kuala Terengganu (Pemikat) 2010, di Kuala Terengganu semalam.
No comments:
Post a Comment