Friday, February 19, 2010

Empat juta pelancong disasar ke Terengganu

Kerajaan negeri menyasarkan kedatangan pelancong ke negeri ini akan mencecah kira-kira empat juta orang pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib berkata, kerajaan negeri yakin faktor-faktor seperti kebimbangan penularan selesema H1N1 dan kesan kegawatan ekonomi pada tahun lepas tidak akan mempengaruhi kedatangan pelancong pada tahun ini.

Katanya, petunjuk awal mengenai peningkatan itu dapat dilihat dengan kedatangan pelancong domestik dan asing ke negeri ini sempena Tahun Baru Cina.

''Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man sahaja mencatatkan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung pada hari kedua Tahun Baru Cina," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Meraikan Pemenang dan Finalis Pengusaha Pelancongan Terengganu Anugerah Pelancongan Malaysia 2008/2009 di Primula Beach Resort semalam.

Za'abar berkata, sebanyak 3.3 juta pelancong domestik dan asing dicatatkan mengunjungi beberapa destinasi pelancongan di negeri ini pada tahun lepas.

Bagaimanapun, katanya, jumlah kedatangan pelancong tersebut gagal mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan negeri iaitu seramai 3.5 juta orang ekoran kebimbangan penularan H1N1 dan kesan kegawatan ekonomi.

Beliau memberitahu, bagi menggalakkan aktiviti pelancongan di negeri ini pada tahun ini, sebanyak RM8 juta diperuntukkan untuk menjalankan promosi dan aktiviti pelancongan.

Katanya, kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan mengekalkan aktiviti pelancongan yang diadakan pada tahun lepas termasuk Kejohanan Swimathon Kapas-Marang.

''Bagaimanapun, pada tahun ini kita akan menganjurkan Festival dan Simposium Gamelan yang diadakan pada dua tahun lepas.

''Selain itu, kita akan melaksanakan aktiviti yang mempunyai nilai tambah supaya keluarga yang mengikuti program dan acara yang diadakan turut mengambil bahagian," katanya.

No comments:

Post a Comment