Wednesday, February 3, 2010

Peluang Mohd Azizulhasni 'Balas Dendam' Terhadap Chris Hoy Di Denmark

Pelumba berbasikal trek kebangsaan, Mohd Azizulhasni Awang kini berpeluang untuk 'membalas dendam' terhadap pelumba Great Britain, Chris Hoy apabila kedua-duanya akan beraksi pada Kejohanan Trek Dunia di Denmark pada Mac ini.

Hoy pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China menafikan peluang Mohd Azizulhasni untuk meraih sebarang pingat apabila menewaskan pelumba kelahiran Terengganu itu di dalam acara pecut 200 meter pada peringkat suku akhir.

"Saya begitu teruja sebab dapat tahu beliau akan turun beraksi di Denmark dan berharap akan berpeluang sekali lagi bersaing dengannya," kata Mohd Azizulhasni ketika ditemui pemberita selepas majlis penajaan sebagai duta produk makanan tambahan untuk atlet lasak, 1st Endurance, semalam.

Beliau berkata walaupun sedar Hoy kini berada di prestasi terbaik, ia merupakan peluang terbaik baginya untuk menguji keupayaan diri sebelum beraksi di Sukan Olimpik 2012 nanti.

"Saya ingin lihat jika terdapat perbezaan dari segi kekuatan, taktik dan sebagainya supaya dapat membaiki kelemahan diri sebelum beraksi di Olimpik nanti," katanya yang akan beraksi di dalam acara keirin dan pecut 200 meter di Denmark nanti.

Hoy pada siri pertama Piala Dunia Klasik di Manchester, England yang berlangsung pada Oktober tahun lepas berjaya memenangi emas di dalam acara keirin dan pecut 200 meter.

Manakala Mohd Azizulhasni yang merupakan antara sandaran pingat negara pada Sukan Olimpik 2012 pula mengunguli acara keirin pada siri keempat Piala Dunia Klasik di Beijing China pada Januari lepas.

Mohd Azizulhasni berkata beliau akan pulang ke Melbourne, Australia, Ahad ini bagi meneruskan latihan persediaan dibawah kendalian ketua jurulatih kebangsaan, John Beasley untuk kejohanan itu.

"Saya akan kembali fokus kepada latihan walaupun baru bergelar suami malah isteri, Athiah Ilyana Abdul Samat turut faham akan keadaan saya apabila menjalani latihan untuk menghadapi sesuatu kejohanan," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai penangguhan pembinaan veledrom di tempat kelahirannya, Dungun, Terengganu yang mendapat tentangan daripada sesetengah penduduk tempatan, Mohd Azizulhasni melahirkan rasa kecewa terhadap perkara itu.

"Saya berharap semua pihak tidak mementingkan diri sendiri kerana veledrom terbabit adalah untuk kegunaan generasi muda dan orang ramai," katanya.

No comments:

Post a Comment