Saturday, February 6, 2010

Mangsa kebakaran terima rumah PPRT

Kesabaran menanti rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kini terbalas apabila rumah Maimon Ismail, 40, Bakar Embong, 50, dan Sidek Embong, 55 siap dibina di Kampung Tuan/Banggol, Chukai.

Ketiga-tiganya kehilangan rumah kediaman setelah tempat tinggal mereka hangus dalam kejadian kebakaran yang berlaku Jun tahun lalu.

Sinar Harian ada menyiarkan kisah membabitkan ketiga-ketiga mangsa dan rentetan daripada itu bantuan mencurah-curah diterima mereka daripada orang ramai termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera.

Menurut Mohamed, dia tetap memenuhi janji yang telah diberi bagi memastikan ketiga-tiga mangsa dapat memiliki rumah sendiri setelah musnah dalam kejadian kebakaran.

“Saya bersyukur kerana masalah rumah mereka telah selesai, setiap satu rumah PPRT bernilai RM33,000, saya berharap kesemua mereka dapat melalui kehidupan dengan lebih sempurna setelah menduduki rumah berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kunci rumah PPRT melibatkan ketiga-tiganya di Kampung Tuan/Banggol yang dihadiri lebih 100 penduduk sekitar.

Menurutnya, apa yang dilakukan membuktikan Kerajaan Negeri prihatin dengan mereka yang ditimpa kesusahan dan pihaknya sentiasa memberi bantuan kepada yang memerlukan.

“Saya akan terus memberi bantuan kepada masyarakat dalam DUN ini, mereka adalah keutamaan saya,” katanya yang turut meluangkan masa meninjau keadaan rumah terbabit.

Pada majlis sama, beliau menyampaikan bantuan kerusi roda kepada Abu Bakar Abdullah yang menghidap penyakit kencing manis dan baru selesai menjalani pembedahan kaki.

Manakala 24 warga miskin dan golongan kurang berkemampuan termasuk kaum Tionghua dari kampung terbabit turut menerima sumbangan beras dan barangan dapur.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment