Terengganu masib belum memutuskan sama ada mahu menyenaraikan pemain skuad Liga Super negeri itu, Joseph Kalang, yang berasal dari Sarawak, untuk Sukan Malaysia (SUKMA) ke-13 di Melaka, Jun ini.
Pemain tengah berusia 22 tahun itu berada dalam keadaan serba salah berikutan Terengganu dan Sarawak masing-masing mahu menggunakan khidmatnya untuk SUKMA mulai 10 hingga 19 Jun ini.
Pengurus pasukan Terengganu, Sheikh Ahmad Tajuddin berkata perkara itu tidak menjadi masalah kepada mereka kerana kontrak yang diluluskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jelas menyatakan Kalang layak untuk mewakili Terengganu pada temasya dwitahunan itu.
Pada hakikatnya, Sheikh Ahmad, berkata surat pelepasan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak juga memberi hak kepada Kalang untuk beraksi bersama Terengganu dalam sebarang pertandingan.
"Namum kami tidak pasti sama ada mendaftarkan Kalang untuk skuad SUKMA kerana Sarawak juga memohon khidmat pemain itu. Kami tidak mahu berselisih faham ke atas pemain kerana mahu menjalin hubungan baik dengan Sarawak," katanya.
"Berikutan kekalutan ini, kami akan membiarkan keputusan muktamad di tangan Sekretariat SUKMA Terengganu. Mereka akan putuskan sama ada membenarkan Kalang menyarung jersi Terengganu atau Sarawak," katanya.
Sebelum ini, Ketua Jabatan Pertandingan FAM, Ahmad Fuad Daud, berkata mengikut status perpindahan pemain, Kalang layak untuk mewakili Terengganu pada temasya SUKMA atau mana-mana pertandingan yang diiktiraf oleh FAM sepanjang tempoh kontraknya.
"Selain kontrak, Sijil Perpindahan Negeri telah dikeluarkan oleh Sarawak kepada Terengganu. Oleh demikian, Terengganu mempunyak hak mutlak ke atas Kalang," ujar Ahmad Fuad, yang juga penolong setiausaha agung FAM.
Beliau menjelaskan jika Sarawak ingin mendapatkan khidmat Kalang untuk beraksi pada SUKMA maka pemain kelahiran Miri itu perlu membatalkan kontraknya bersama Terengganu.
No comments:
Post a Comment