Sunday, February 28, 2010

Tambah sekolah elit, premier

Kerajaan Negeri akan menambah bilangan sekolah elit dan sekolah premier di negeri ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) belajar di sekolah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ketika ini Kerajaan Negeri giat mengenal pasti beberapa sekolah menengah bantuan kerajaan untuk dijadikan sekolah elit dan premier.

“Setakat ini, kami telah mendapat permohonan daripada tiga sekolah menengah agama bantuan kerajaan untuk dinaik taraf, bagaimanapun ia masih dalam perancangan.

“Sekolah berkenaan adalah Sekolah Menengah Agama (SMA) Atas Sultan Zainal Abidin Batu Buruk, SMA Sultan Zainal Abidin Ladang dan SMA Khairiah, Kuala Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Pesta Buku Terengganu 2010 bertemakan ‘Membaca: Menjana Inovasi dan Kreativiti’, anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah JPNT, Ariffin Embong dan Pengarah PPAT, Nor Akmal Abdul Fatah.

Ahmad Razif berkata, Terengganu kini mempunyai enam sekolah elit, 23 sekolah premier dan empat sekolah imtiaz (tidak termasuk sekolah imtiaz baru diwujudkan di Kemaman) bagi menempatkan murid cemerlang UPSR.

Menurutnya, bilangan sekolah elit dan sekolah premier perlu ditambah berikutan bilangan murid cemerlang UPSR semakin meningkat setiap tahun sedangkan tempat ditawarkan untuk mereka ke sekolah berasrama penuh sangat terhad.

“Tahun lalu di negeri ini, seramai 3,664 murid berjaya mendapat 5A UPSR dan angka ini dijangka bertambah tahun ini.

“Kami sasarkan tahun depan dapat menambah 20 peratus lagi murid yang berjaya memperoleh semua 5A iaitu meningkat kepada 5,000 murid berbanding tahun lalu,” katanya.

Justeru, menurutnya, Kerajaan Negeri akan berusaha menambah bilangan sekolah elit dan sekolah premier dalam masa terdekat bagi menempat murid cemerlang berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan pihak Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi mewujudkan MRSM Yayasan Terengganu.

Menurutnya, maktab berkenaan juga amat perlu bagi menempatkan murid cemerlang UPSR agar kecemerlangan mereka dapat dikekalkan.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, Kerajaan Negeri turut bercadang membuka perpustakaan maya atau ‘virtual library’ di beberapa lokasi dikenal pasti termasuk di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat negeri ini.

No comments:

Post a Comment