Tuesday, February 9, 2010

Mustahil Pas ambil alih kerusi DUN

UMNO giat mengatur strategi memastikan semua kerusi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini menjadi milik Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Naib Ketua UMNO Bahagian Dungun, Matulidi Jusoh berkata, pihaknya tidak akan sesekali memberi peluang kepada pembangkang, apatah lagi dua kerusi di Dungun iaitu Paka dan Rantau Abang dikatakan menjadi sasaran Pas.

“Bukan kata DUN Paka dan Rantau Abang, bahkan semua kawasan kita akan ambil semula. Jika mereka atur strategi, kita juga mempunyai senjata tersendiri,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sasaran Pas Terengganu mahu merampas sembilan kerusi DUN termasuk Paka dan Rantau Abang dengan mengekalkan lapan kerusi sedia ada.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat yang juga Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Dungun, Azman Shapawi sebelum ini berkata, pihaknya menyasarkan DUN yang dimenangi BN dengan majoriti 1,000 undi ke bawah.

Matulidi percaya, apa yang dikatakan Pas hanyalah cakap-cakap politik dan lumrah sebagai persiapan menghadapi pilihan raya.

Menurutnya, agak mustahil Pas memenangi kerusi DUN sebagaimana disasarkan, lebih-lebih lagi parti itu tidak mampu memberi apa-apa keistimewaan kepada rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, Terengganu berjaya mengekalkan apa yang sedia ada sebelum ini terutama dalam bidang pendidikan negeri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Dungun berkata, sasaran Pas itu tidak akan mempengaruhi gerak kerja parti sambil memberitahu, pihaknya melakukan program secara berkala.

”Apa yang patut dibantu, kita sudah bantu dan turun gelanggang bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN pada PRU-13,” katanya.

No comments:

Post a Comment