Tuesday, February 9, 2010

Peserta Negara Kuasai Kejohanan Lumba Jet Ski Dunia


Gambar oleh Blax

Lima peserta negara berjaya menguasai tujuh daripada sembilan kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan Lumba Jet Ski Dunia yang berakhir di Pulau Duyong Kuala Terengganu,kelmarin..

Malah, dua peserta negara Peter Ho dari pasukan LT Kawasaki Racing dan Zulfaizal Sukri dari pasukan CTM turut mencipta kejutan apabila berjaya muncul juara dan naib juara dalam kategori Runabout Endurance Terbuka dengan menewaskan jaguh dunia tiga kali, Christ Fishchetti.

Selaku juara, Peter membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, diikuti Zulfaizal menerima hadiah RM5,000 , manakala Fishcetti terpaksa berpuas hati di tempat ketiga untuk membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,500.

Peter turut memenangi kategori Novis Runabout 4-Stroke Stock Terbuka setelah menewaskan peserta negara Hanif Sukri dari pasukan CTM sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.

Seorang lagi peserta Malaysia yang turut memenangi kejuaraan berganda ialah Supak Settura dari pasukan Wirajet Sports & Marine yang mengungguli kategori Pro-Am Runabout Terbuka setelah menewaskan seorang lagi jaguh dunia dari Amerika Amy Green.

Selain itu, Supak turut beraksi cemerlang dalam kategori Expert Runabout Terbuka mengalahkan juara British, Seth Wilkinson yang terpaksa akur di tempat kedua.

Kejayaan itu, membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah sebanyak RM11,000.

Bagi kategori Expert Runabout 800 Terbuka Malaysia dimenangi oleh Mohd Nur Azahari Ahmat Baddri, Expert Runabout Terbuka Malaysia dikuasai Ron Tan Kim Guan, dan Supadet dari pasukan Eme Jetski Team Racing pula memenangi Pro-Am Runabout 800 Terbuka.

Dua lagi kategori iaitu Wanita Runabout Terbuka dan Veteran Runabout Terbuka, dikuasai peserta dari Amerika Syarikat dan Thailand.

Seramai 100 peserta dari dalam dan luar negara menyertai Kejohanan Lumba Jet Ski Dunia yang julung kali diadakan di Malaysia selama tiga hari bermula Khamis lepas dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM82,500.

No comments:

Post a Comment