Saturday, February 20, 2010

RM10j untuk yang berpenyakit kronik

Baru-baru ini kerajaan Terengganu mengumumkan rakyat negeri itu boleh memohon untuk mendapatkan bantuan bagi rawatan bagi yang berpenyakit kronik.

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM10 juta bagi merawat penyakit kronik seperti pembedahan buah pinggang, jantung atau kanser.

Tujuan kerajaan ialah membantu mereka yang kekurangan wang atau sukar mendapatkan peluang rawatan berkenaan dan kemudahan bantuan kerajaan negeri akan meringankan beban mereka ini.

Tetapi seperti biasalah, apabila sahaja ada ruang rakyat akan memohon. Dan apabila permohonan dibuat, ada yang tidak pedulikan syarat atau peraturan ditetapkan.

Tujuan peraturan ialah menjamin mereka yang benar-benar memerlukan dan layak sahaja dapat diterima.

Maka berduyun-duyunlah memohon kemudahan. Akhirnya, terserlah yang memohon ramai yang tidak layak.

Kenapa?

Ramai yang memohon sesetengahnya tidak tahu pun mengenai penyakit mereka.

Berikutan itu kerajaan negeri meminta rakyat yang ingin memohon bantuan perubatan daripada kerajaan negeri perlu mempunyai laporan perubatan yang jelas daripada hospital mengenai penyakit mereka.

Dengan kata lain, mereka perlu mendapatkan laporan hospital mengenai penyakit mereka dan kenapa bantuan diperlukan.

Menurut Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, bantuan itu hanya untuk mereka yang menghidap penyakit kronik dan memerlukan rawatan yang berterusan.

"Banyak orang salah faham dan ambil kesempatan, selain ada yang datang ke pejabat saya mahukan bantuan perubatan tetapi penyakit yang dialami tidaklah seteruk mana mana.

"Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM10 juta bagi merawat penyakit kronik seperti pembedahan buah pinggang, jantung atau kanser," katanya baru-baru ini.

Sebelum itu beliau melawat seorang bayi perempuan, Khaulah Al-Azwar Amrun, 3 bulan yang menghidap hidrosefalus atau gangguan aliran cecair dalam otak, di rumahnya di Kampung Panji Alam, di Kuala Terengganu.

Tahun lalu, kerajaan negeri mengumumkan peruntukan khas RM10 juta bagi membantu anak negeri yang menghidap penyakit kronik seperti jantung berlubang dan kanser dalam meringankan beban mereka untuk mendapatkan rawatan.

Mengenai bayi malang itu, Ahmad berkata kerajaan negeri sedia membiayai kos perubatannya termasuk untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta jika ada doktor pakar yang dapat merawat penyakit itu.

Sementara itu, ibu bayi berkenaan, Siti Norhayati Ahmad, 29, ketika ditemui berkata anak bongsu daripada lima beradik tersebut sudah menjalani pembedahan pada 21 Disember lalu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia bagi mengeluarkan cecair daripada kepalanya.

"Khaulah kini memerlukan rawatan susulan di Kuala Lumpur yang menelan belanja sekurang-kurangnya RM2,000 setiap kali ke sana," "Saya buntu memikirkan soal kewangan kerana pendapatan sebagai peniaga kecil-kecilan hanya cukup untuk menampung makan harian anak beranak saja," katanya.

Siti Norhayati berkata, suaminya Amrun Mamat, 52, yang sebelum ini berkerja sebagai jurufoto bebas kini terlantar di rumah selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya tahun lalu.

No comments:

Post a Comment