Monday, February 22, 2010

Persatuan Minta Kerajaan Terengganu Sedia Perhentian Teksi Yang Selesa

Persatuan Kebajikan Pemandu-Pemandu Teksi Melayu dan Tuan Punya Teksi Terengganu (PKPTM-TPTT) hari ini meminta kerajaan negeri agar mewujudkan sebuah perhentian teksi yang lebih selesa.

Pengerusinya Yunus Salleh berkata selaras dengan status bandar raya yang dimiliki oleh Kuala Terengganu, menjadi tanggungjawab kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mewujudkan perhentian teksi supaya tidak memberi imej yang buruk kepada Terengganu.

"Lihatlah sendiri keadaan perhentian teksi kita di sini. Anda boleh lihat keadaannya yang buruk dan usang. Tambahan lagi tapak perhentian teksi pun tidak diturap dengan tar dan sampah merata-rata." katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyerahan papan tanda bertulis "Perhentian Teksi" oleh Pengerusi Kelab Kebajikan dan Sukan Kuala Terengganu (Kesun) Datuk Dr Alex Ong Yeok Leng di Kuala Terengganu semalam.

Yunus berkata persatuan itu, yang mempunyai lebih 100 anggota, pernah membuat permohonan supaya diwujudkan sebuah perhentian teksi namun sehingga kini belum mendapat sebarang keputusan.

Beliau berkata PKPTM-TPTT sudah wujud sejak 30 tahun lalu dan sehingga kini telah dua kali berpindah tapak.

Sementara itu, Ong berkata penyerahan papan tanda bertulis "Perhentian Teksi" itu dibuat bagi memudahkan orang ramai terutama pelancong mendapatkan perkhidmatan teksi di bandar raya ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment