Monday, February 22, 2010

RM2 juta peruntukan projek ternak ikan dalam tangki

Sebanyak RM2 juta telah diberi oleh Kerajaan Negeri melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk melaksanakan projek menternak ikan dalam tangki di pelabuhan ikan Chendering.

Pengurus Besar Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu), Rosli Mustapa berkata, projek itu inisiatif Kerajaan Negeri untuk meningkatkan ekonomi persatuan nelayan setempat.

“Selain itu, ia juga turut memberi peluang anak nelayan yang tinggal di kawasan berhampiran dan tidak mempunyai pekerjaan tetap bekerja di tapak projek yang baru disiapkan sepenuhnya pada akhir tahun lalu.

“Di tapak projek ini kita akan memfokuskan kepada tiga jenis ternakan ikan iaitu ikan ketutu, siakap, dan kerapu kerana jenis ikan tersebut mempunyai nilai pasaran yang tinggi apabila dijual.

“Kita juga akan mengkaji jenis ikan talapia sekiranya permintaan yang tinggi daripada orang ramai kerana ikan tersebut mempunyai nilai harga yang tidak menentu di pasaran,” katanya.

Menurutnya, di tapak projek ini sebanyak 30 tangki dilengkapi dengan sistem yang canggih dan diletakkan di bawah kawalan Penentu sepenuhnya serta setiap satu tangki boleh memuatkan 400 kilogram ikan dengan anggaran 1,500 ekor.

“Ikan tersebut akan melalui proses ‘pendederan’ dan tidak akan dipelihara sehingga tempoh yang matang kerana matlamat utama projek ini adalah untuk membekalkan kepada pengusaha ikan dalam sangkar bagi dijadikan induk.

“Kita akan memilih ikan mengikut gred kerana apabila menjangkau sehingga 10 sentimeter proses pengasingan akan dilakukan.

“Jika sebelum ini hanya benih ikan yang menjadi keutamaan untuk dijual tetapi LKIM mengambil pendeka-tan berbeza bagi mengelakkan kerugian pada peringkat awal akibat tidak dapat dibiakkan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program lawatan pelajar Teknologi Makanan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) ke tapak projek menternak ikan di Pelabuhan Ikan LKIM, Chendering baru-baru ini.

Rosli berkata, insya-Allah sekiranya ia berjaya dilaksana tahun ini, projek ini akan menjadi perintis kepada pengusaha ikan untuk menggunakan teknologi baru dalam proses pembekalan ikan.

“Ini sebab, masalah kekurangan ikan di negara ini masih berlaku dan kita juga terpaksa mengimport ikan dari Thailand, Myanmar dan Indonesia bagi memenuhi permintaan rakyat,” katanya

No comments:

Post a Comment