Kira-kira 1,700 peladang dan pesawah di negeri ini mendapat manfaat di bawah Skim Pemilikan Jentera dan Peralatan Kecil Peladang di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara sejak mula diperkenalkan pada 2007.
Menurut Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu, Shamsuddin Mat Rani, dasar itu adalah bagi menggalakkan peladang dan pesawah memiliki jentera sendiri dan peralatan untuk mengusahakan sawah dan ladang tanpa banyak bergantung pada penyedia perkhidmatan.
Katanya, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kos operasi, penyediaan tanah yang berkualiti bagi membolehkan sektor pertanian ditransformasikan ke arah yang lebih moden, dinamik dan berdaya saing.
“Sejak diperkenalkan pada 2007, LPP telah memperuntukkan sebanyak RM100,000 untuk pemberian jentera dan jumlah itu meningkat kepada RM500,000 pada 2008.
“Disebabkan sambutan yang cukup menggalakkan, peruntukan tersebut ditingkatkan kepada RM2.5 juta pada 2009 dan untuk tahun ini sahaja, kita memperuntukkan sebanyak RM600,000 kepada 200 ke 300 peladang dan pesawah di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas Majlis Penyerahan Jentera dan Peralatan Peladang di bawah Skim Pemilikan Jentera dan Peralatan Kecil Peladang dan di bawah Dasar Jaminan Bekalan Negara yang diadakan di pekarangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Payong.
Majlis itu dirasmikan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Zaidi Muda.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi PPK Bukit Payong, Othman Muda.
Menurutnya, kebanyakan penerima bantuan tersebut adalah peladang yang mengusahakan tanaman padi selain pengusaha tanaman lain.
“Had pembiayaan maksimum bagi seorang peladang ialah RM5,000 dan jentera atau peralatan yang diberikan berdasarkan permintaan dan keperluan mereka.
“Kita berharap dengan usaha yang dijalankan ini, ia dapat meningkatkan pengeluaran pertanian dan menjadikan sektor ini sebagai penjana ekonomi negara dan memperoleh imbangan dagangan yang positif,” katanya.
No comments:
Post a Comment