Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan Sungai Terengganu bagi menjadikannya sebagai satu tarikan kepada pelancong terutamanya pada waktu malam.
Setiausaha MBKT, Samiun Salleh berkata, sebagai sebuah negeri yang mempunyai keunikan dan terletak di kawasan pesisiran sungai dan laut ia menjadikan Terengganu sebuah negeri yang lain berbanding bandar raya yang diiktiraf di negara ini.
“Konsep pembangunan ini akan lebih menjurus kepada perancangan pembinaan tempat makan, ruang bersantai bersama keluarga dan laluan feri yang boleh dilalui di bawah jambatan yang akan dibina khusus selepas ini.
“Kita akan memastikan pesisir Sungai Terengganu bermula dari pesisiran Pulau Kambing hingga ke Taman Tamadun Islam (TTI) akan ditambak serta dipasang lampu warna-warni.
“Pembangunan ini juga akan diletakkan di bawah satu pelan strategik iaitu dengan menggabungkan reka bentuk bercirikan sejarah dan moden,” katanya.
Menurutnya, pembangunan ini akan dibuat secara berperingkat selama lima tahun dan selepas lengkap kesemuanya ia akan menjadi salah satu mercu tanda negeri yang baru selain TTI dan Masjid Kristal.
“Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada pemerintahan Kerajaan Negeri akan dimanfaatkan dengan baik agar rakyat dapat menilai kesungguhan yang dilakukan untuk masa depan generasi baru selepas ini.
“Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan ini disebabkan ada yang memikirkan masalah sosial akan meningkat dari masa ke masa,” katanya.
Bagaimanapun menurut Samiun, sebagai sebuah badan pelaksana yang telah diberi mandat oleh masyarakat, pembangu-nan akan tetap dilaksanakan dan masalah sosial akan cuba dibendung dengan meminta kerjasama daripada agensi berkenaan.
“Jika hanya menilai pada perkara negatif sahaja sampai bila-bila pun negeri ini akan ketingga-lan dan masyarakat juga tidak mendapat peluang pekerjaan di negeri sendiri,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment