Tuesday, March 16, 2010

28 pelajar ikuti klinik pelayaran

Seramai 28 pelajar sekolah menengah daerah Kuala Terengganu telah mengikuti klinik pelayaran sukan kapal layar sebagai permulaan ke arah melahirkan jaguh pada peringkat antarabangsa.

Menurut Pengarah Urusan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), Ramli Shahul Hameed, pendedahan itu dibuat bagi memberi peluang anak tempatan menunjukkan bakat yang sebelum ini tidak pernah digilap walaupun mempunyai kemahiran.

“Kita mahu melahirkan lebih ramai jaguh di peringkat antarabangsa bagi bersaing dengan pesaing luar negara walaupun sekarang sudah mempunyai beberapa anak tempatan yang terlibat sepenuhnya dalam sukan ini.

“Antara yang pernah mencipta nama pada peringkat antarabangsa ialah Hazwan Hazim Dermawan yang mencipta kejayaan pada Monsun Cup tahun lepas, Mohd Saifullah Mohd Esa dan Nurul Ain Md Isa,” katanya.

Menurutnya, program seumpama ini adalah yang pertama kali dianjurkan dengan kerjasama daripada Perbendaharaan Negeri Terengganu.

“Program ini menekankan aspek keyakinan dalam diri peserta untuk menghadapi segala cabaran secara berkumpulan serta menunjukkan sikap bertanggungjawab dalam diri masing-masing.

“Mereka turut didedahkan dengan cara mengawal keadaan semasa dalam bot dan cara mengendalikan layar dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup dan penyampaian sijil kepada peserta klinik pelayaran sukan kapal layar di Dewan Rajawali, Ri-Yaz Heritage, Pulau Duyong.

Ramli berkata, kesemua peserta yang terlibat akan bersaing pula pada pertandingan akhir iaitu bulan November bagi menentukan pemenang.

Justeru katanya, diharapkan peluang yang diperoleh itu dapat dimanfaatkan untuk sesi latihan sama ada hujung minggu atau setiap kali cuti penggal persekolahan.

“Sekurang-kurangnya mereka mempunyai satu pengalaman pembelajaran yang baru selain daripada tumpuan dalam bidang akademik,” katanya.

No comments:

Post a Comment