Tuesday, March 16, 2010

Angin Kencang Dan Laut Bergelora di Terengganu, Kelantan

Angin kencang Timur Laut dan laut bergelora kategori kedua dijangka berlaku di perairan Condore, Reef North dan Layang-Layang mulai hari ini hingga Sabtu.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam berkata angin dengan kelajuan 50 hingga 60km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter itu berbahaya kepada aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dengan kelajuan 40 hingga 50km sejam dan ombak ketinggian sehingga 3.5 meter pula dijangka melanda perairan Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pantai Barat, Kudat dan Sandakan), Palawan dan Sulu bermula esok hingga Sabtu ini.

Keadaan yang sama turut dijangka berlaku di Samui (Kelantan dan Terengganu), Tioman (Pahang dan Johor Timur), Sarawak, Bunguran dan Reef South, sekaligus berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Selain itu, aktiviti ribut petir yang berlaku di perairan Johor barat dijangka berterusan sehingga malam semalam.

Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 km sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai setinggi 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.

Sementara itu, satu gempa bumi sederhana kuat berskala 5.1 Richter telah melanda Kepulauan Ryukyu, Jepun kira-kira 5.35 petang ini.

Gempa bumi itu yang berpusat di latitut 28.3 Utara dan longitud 129.1 Timur terletak kira-kira 511 km dari selatan Kobe, Jepun dan 2,711 km dari timur laut Kudat, Sabah.

Bagaimanapun tiada amaran ancaman tsunami dikeluarkan.

No comments:

Post a Comment