Tuesday, March 2, 2010

Air Mata Ibu Iringi Kejayaan Anuar Manan



Kejayaan pelumba sensasi negara, Anuar Manan meraih dua jersi pada peringkat pertama perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang berakhir di Kuala Berang, Terengganu, semalam diiringi tangisan gembira ibunya, Azizah Ariffin.

"Anuar ada memberitahu kami sekeluarga untuk menyaksikannya berlumba dan saya sangat gembira dengan kejayaannya ini.

"Peluang menyaksikan beliau berlumba adalah sesuatu yang bermakna, lebih-lebih lagi di negeri sendiri," katanya yang turut ditemani suaminya, Manan Muda, ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan.

Azizah berkata Anuar merupakan seorang anak yang baik dan sentiasa membantu keluarga.

Anuar, yang mewakili pasukan dari Korea Selatan, Geumsan Ginseng Asia, pada tahun ini berjaya meraih jersi hijau (raja pecut) dan biru (pelumba terbaik Asia) pada peringkat pertama ini.

Beliau akan meneruskan peringkat kedua perlumbaan esok bersama-sama 116 pelumba lain dari Kuala Terengganu ke Chukai, melibatkan jarak sejauh 182.3 kilometer.

Anuar mencipta sejarah tersendiri apabila meraih dua jersi pada peringkat pertama perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang berlangsung dari Kota Baharu, Kelantan ke Kuala Berang, Terengganu semalam.

PARA peserta lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) melakukan kayuhan melalui Jalan Temenggong, Kota Bharu selepas mereka berlepas untuk stage pertama perlumbaan dari Kota Bharu ke Kuala Berang, Terengganu sejauh 174.5 Kilometer, 1 Mac.- Utusan/ZULHANIFA SIDEK

Pelumba kelahiran Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu meraih jersi hijau selaku raja pecut dan jersi biru sebagai pelumba terbaik Asia setelah berakhirnya peringkat pertama perlumbaan sejauh 174.5 kilometer itu.

"Memang menjadi sasaran saya serta pasukan (Geumsan Ginseng Asia) pada kali ini untuk memenangi gelaran 'raja pecut' manakala jersi pelumba terbaik Asia adalah satu bonus," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan itu di Kuala Berang.

Anuar berkata beliau kini akan menumpukan usaha untuk mengekalkan jersi hijau bagi membolehkannya muncul pelumba pertama dari Malaysia yang meraih gelaran raja pecut setelah LTdL memasuki edisi ke-15 tahun ini.

"Untuk jersi pelumba terbaik Asia adalah sukar dan mustahil kerana memerlukan kerjasama dan usaha yang lebih kuat daripada anggota pasukan yang lain," katanya.

Pelumba berusia 24 tahun itu turut mengakui anggota-anggota pasukan barunya lebih baik berbanding pasukan Azad University yang diwakilinya pada tahun lepas, selepas memperolehi latihan persiapan yang mencukupi di Thailand selama sebulan.

"Saya berharap dapat menebus kegagalan pada tahun lepas dan kehampaan pada 2008, sekadar berpuas hati di tempat kedua keseluruhan untuk jersi hijau," katanya.

Anuar bagaimanapun pada 2008 berjaya menyarung jersi pecut pada dua peringkat perlumbaan namun terpaksa akur kepada kehebatan pelumba pasukan AG2R, Aurelian Clerc setelah berakhirnya tujuh peringkat perlumbaan.

Menyentuh perlumbaan hari ini, Anuar berkata anggota pasukannya telah bekerja keras membantunya untuk memenangi dua zon pecutan di Jelawat, Bachok dan Kuala Besut.

"Setelah rakan-rakan sepasukan penat saya terpaksa melakukan perancangan seorang diri pada 10 kilometer terakhir sekaligus menyukarkan usaha saya mencari posisi terbaik untuk memecut sekaligus sekadar menamatkan di tempat keempat".

"Jadi saya perlu berusaha lebih kerana untuk memenuhi satu lagi sasaran pasukan iaitu memenangi satu peringkat perlumbaan," katanya.

Anuar yang kini mengumpul 23 mata berbanding pencabar terdekat Michael Matthews dari Team Jayco-Skins (15 mata) berkata beliau akan cuba untuk mengutip sekurang-kurangnya lima mata dalam setiap peringkat untuk mengekalkan jersi hijau itu.

Sementara itu, perlumbaan peringkat pertama hari ini dimenangi oleh Matthews dengan catatan masa 4 jam 22 minit 53 saat manakala Vidal Celis (Footon Servetto) di tempat kedua dan Ruslan Tleubayev dari pasukan kebangsaan Kazakhstan di tempat ketiga.

Kemenangan itu membolehkan Matthews menyarung jersi kuning selaku pendahulu individu keseluruhan manakala Peter McDonald dari pasukan Drapac Porsche meraih jersi polka dot (jersi merah) selaku raja bukit dengan mengumpul empat mata.

No comments:

Post a Comment