Wednesday, March 10, 2010

Bilangan Penyu Bertelur Di Terengganu Dijangka Meningkat

Jabatan Perikanan Terengganu menjangkakan bilangan penyu yang bertelur di pantai negeri ini meningkat berbanding tahun lepas berikutan spesis itu dikesan mendarat lebih awal tahun ini.

Pengarah Perikanan Negeri Zakaria Ismail berkata hasil pemantauan jabatan itu mendapati penyu mendarat lebih awal iaitu pada 22 Feb di Ma'daerah berbanding tahun lepas pada bulan Mac.

"Ini satu petanda pendaratan penyu akan meningkat tahun ini dan kita merancang akan membeli semua telur daripada pemajak untuk tujuan penetasan supaya penyu tidak pupus pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Bagi tujuan itu, beliau berkata jabatan akan bekerjasama dengan Tabung Alam Sedunia Malaysia (WWF) untuk meneruskan usaha penetasan bagi memastikan kesinambungan kehidupan spesis itu dengan membeli seberapa banyak telur dari pemajak.

Zakaria berkata sehingga semalam, pihaknya telah membeli 1,000 biji telur penyu daripada pemajak di kawasan Kemaman secara berperingkat sejak awal tahun ini.

Kesemua telur itu diram di pusat penetasan Ma'daerah dan pihaknya menjangka peringkat pertama telur akan menetas pada 18 April, katanya.

Beliau berkata pada tahun lepas, hanya penyu Agar dilapor mendarat di negeri ini dengan 430 sarang melibatkan telur sebanyak 32,185 biji dan daripada jumlah itu, sebanyak 25,368 biji atau 79 peratus menetas dan dilepas ke laut.

No comments:

Post a Comment