Tuesday, March 16, 2010

Terengganu juara 3 peperiksaan

Terengganu terus cemerlang dalam bidang pendidikan apabila negeri itu muncul juara seluruh negara bagi tiga peperiksaan utama sepanjang tahun lalu, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Beliau memberitahu, negeri ini menjuarai peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lalu.

Katanya, hanya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan Khamis lalu negeri ini tidak mendapat tempat pertama namun keputusannya amat memberangsangkan malah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

"Bagi peperiksaan utama tahun lalu, kita menjadi juara bagi tiga daripada empat peperiksaan yang diadakan.

''Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan dan ia dicapai hasil usaha gigih kerajaan menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis kesyukuran bagi meraikan para pelajar cemerlang SPM Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bandi kelmarin.

Walaupun Terengganu tidak menjadi juara keputusan SPM tahun lalu, Nilai Gred Purata (NGP) bagi negeri ini mengatasi pencapaian peringkat nasional iaitu 5.34.

Bagi peperiksaan SPM tahun lalu, negeri ini mencatatkan NGP 5.08 berbanding 5.27 pada tahun 2009.

Ahmad memberitahu, Terengganu menjadi juara UPSR buat kali kesembilan berturut-turut tahun lalu manakala kedudukan tempat pertama bagi peperiksaan PMR dan STPM diraih bagi tahun kedua berturut-turut.

"Saya yakin dalam tempoh beberapa tahun lagi kita juga mampu menjadi juara bagi peperiksaan SPM," tambahnya.

No comments:

Post a Comment