Wednesday, March 24, 2010

Gua Bewah destinasi pelancongan ‘Jurasik’ di Tasik Kenyir

Tasik Kenyir di Hulu Terengganu yang terletak 40 kilometer (km) dari pekan Kuala Berang bukan suatu nama asing kerana tasik buatan manusia yang terbesar di Asia itu cukup dikenali sebagai syurga kepada pencinta alam semula jadi.

Selain mempunyai sebanyak 14 air terjun dan pulau-pulau kecil seperti Pulau Bayas, Pulau Sumas, Pulau Jelatang, Pulau Batu Pipit yang juga dikenali sebagai Pulau Mahathir, tidak ramai yang menyedari tasik dengan keluasan 38,000 hektar itu juga kaya dengan tinggalan sejarah purba.

Gua Bewah yang terletak 578 meter dari aras laut di tasik itu, cukup dikenali sebagai gua batu kapur yang mempunyai bentuk dan formasi stalaktit dan stalagmit yang unik seperti bentuk burung unta dan lembaga manusia yang sedang sujud. Namun, di sebalik keistimewaan itu, tersingkap sejarah bahawa Gua Bewah adalah penempatan manusia di zaman Mesolitik dan Neolitik.

Nama Gua Bewah dipercayai berdasarkan kedudukannya yang berdekatan dengan Bukit Bewah.

Sekumpulan penyelidik arkeologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu yang menjalankan kerja penggalian sejak November lepas, menemui rangka manusia yang dipercayai dari zaman Mesolitik, baru-baru ini.

Menurut Timbalan Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu UKM, Prof Datuk Dr Nik Hasan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, sepanjang kerja-kerja penggalian yang dilakukan mulai November tahun lalu, banyak artifak lain ditemui di gua berkenaan.

Antaranya ialah kulit siput, tulang haiwan, tanduk kambing, alat batu jenis Sumatralith, pisau batu, batu pengetuk, batu pelandas dan sisa tanah liat yang dibakar.

Katanya, berdasarkan penemuan itu, beliau yakin sememangnya terdapat hidupan prasejarah di dalam gua berkenaan.

"Masih banyak lagi penyelidikan yang perlu dilakukan pada masa akan datang kerana kajian lebih mendalam perlu dilakukan supaya maklumat lebih tepat dapat dikumpul dan didokumentasi serta dapat disebar kepada pelancong," katanya.

Menurut Dr Nik Hasan Shuhaimi, sehingga kini pasukan penyelidik itu melakukan sebanyak 20 peratus kerja penggalian di Gua Bewah.

"Saya percaya masih banyak lagi artifak bersejarah di gua ini dan kami akan cari lagi. Buat masa ini, semua artifak yang kami jumpa, kami simpan di Muzium Negeri dulu. Kami ada dua tahun lagi untuk kerja cari gali di Gua Bewah," katanya.

Dr Nik Hasan Shuhaimi juga mengesahkan bahawa kebanyakan penemuan artifak sejarah di gua itu datang dari dua zaman iaitu zaman Mesolitik dan zaman Neolitik.

"Yang membezakan dua zaman itu ialah contohnya kapak batu. Kami menjumpai banyak kapak batu. Zaman Mesolitik kapak batunya kasar tetapi Neolitik ini, dia bertamadun sikit.

"Kapak batunya licin dan mereka juga mempunyai lembing batu. Kegiatan kedua-dua zaman itu ialah memburu dan mengumpul. Zaman Neolitik juga, mereka mempunyai tembikar," tambahnya.

Beliau juga berkata, bahawa setiap maklumat berhubung artifak yang ditemui akan didokumentasi pada 2012.

Sebelum ini, Jabatan Muzium dan Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu dilaporkan pernah melakukan kerja penggalian pada Julai 1976 dan antara artifak yang ditemui ketika itu termasuk rangka manusia, serpihan tembikar, kapak batu dan sisa makanan iaitu sisa tulang haiwan dan cengkerang siput sedut.

Pengunjung yang berminat untuk menikmati keindahan gua ini, perlu mendaki 240 anak tangga untuk ke pintu gua sebelum dapat merasai suasana udara sejuk di dalam gua selain melihat pokok keladi besar dan cili padi hidup subur di hadapan pintu gua berkenaan.

Gua Bewah juga dilengkapi dengan sistem solar untuk menyalurkan kuasa elektrik bagi pencahayaan lampu di dalam gua berkenaan bagi kemudahan pengunjung yang berkunjung ke situ.

Di samping itu, kerajaan negeri membina laluan untuk memudahkan pergerakan pengunjung dan pengunjung juga boleh membawa lampu suluh kerana tidak semua kawasan di dalam gua berkenaan dilengkapi dengan lampu.

Mereka yang berminat untuk mengunjunginya boleh mendapatkan khidmat pemandu pelancong dan menaiki rumah bot untuk ke gua berkenaan menerusi ejen yang disediakan iaitu Bahtera Petang Houseboat.

Bahtera Petang Houseboat mampu memuatkan maksimum 12 orang dalam satu-satu masa dan bayaran yang dikenakan bergantung kepada tempoh yang dikehendaki oleh pengunjung.

Bagi pakej dua hari satu malam, bayaran yang dikenakan oleh perkhidmatan itu ialah RM280 dan pakej tiga hari dua malam, RM470 dikenakan manakala RM188 akan dikenakan sekiranya pengunjung menambah sehari bermalam.

Bahtera Petang Houseboat mempunyai dua bilik di mana satu bilik mempunyai dua katil bujang manakala sebuah bilik lagi mempunyai dua buah katil bertingkat dan lebihan enam penumpang lagi, mereka akan diberi kelengkapan tidur untuk tidur lobi rumah bot.

Pengunjung boleh mendapatkan perkhidmatan rumah bot melalui Jeti Jenagor atau Pangkalan Gawi.

Pengunjung juga dikenakan bayaran RM1 sebagai bayaran masuk ke Taman Negara dan bagi mereka yang membawa kamera, bayaran RM10 dikenakan dan mereka juga diminta membuat surat kebenaran kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

"Surat kebenaran untuk memasuki Taman Negara perlu dibuat dan dihantar sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh untuk memasuki kawasan Taman Negara. Bagi yang membawa kamera tetapi tidak mengisytiharkan barangan itu, mereka boleh dikompaun," kata Pengarah Perhilitan, Jamalun Nasir Ibrahim.

Rencana Bernama

No comments:

Post a Comment