Wednesday, March 17, 2010

Hadiah Berganda Kekal Juara MSSM


Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan negeri bersedia melipatgandakan hadiah kepada atlet yang berjaya membawa kontinjen Terengganu kekal juara buat kali kedua Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia tahun ini.


Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata walaupun untuk mempertahankan kejuaraan amat sukar berbanding meningkatkan kejayaan, kerajaan negeri berkeyakinan atlet Majlis Sukan-Sukan Terengganu (MSST) mampu melakar kejayaan dan mengharumkan nama negeri untuk kali kedua.

Katanya, kerajaan bersedia memberi apa sahaja pengiktirafan kepada atlet yang berjaya dalam bidang sukan yang dikuasai mereka asalkan mereka mampu menempa nama dan menghasilkan kejayaan yang terbaik.

Menurut Dato’ Ahmad, bagi mencapai kejayaan yang disasarkan atlet perlu mengekalkan disiplin, kesungguhan dan momentum stamina yang tinggi.

“Sebagaimana kejayaan yang dibuat oleh pelumba basikal negara yang berasal dari Terengganu, Anuar Manan memenangi Raja Pecut yang pertama sejak 15 tahun penganjuran Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL).

“Kerajaan mengiktiraf kejayaan beliau dan menganugerahkan sebidang tanah dan RM10,000 atas pencapaian luar biasa anak Terengganu itu sekaligus membuktikan kerajaan bersedia memberi apa sahaja berdasarkan pencapaian atlet dalam bidang mereka,” kata beliau ketika merasmikan Majlis Anugerah Sukan MSST 2009, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Beliau turut menyampai anugerah pada malam tersebut.Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Haji Ariffin Embong.

Menteri Besar turut mengharapkan atlet yang masih di bangku sekolah seperti atlet MSST bukan hanya jaguh dalam sukan sebaliknya turut mengutamakan pelajaran.

Katanya, gesaan itu bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk melihat Terengganu sebagai negeri anjung ilmu yang terbukti berjaya dihasilkan dengan pencapaian terbaik peringkat nasional bagi keputusan tiga peperiksaan utama sepanjang tahun lalu.

Malah, pada masa yang sama, kejayaan dalam bidang sukan di peringkat negeri, negara serta dunia membuktikan Terengganu berupaya menjadi kuasa baru dalam sukan negara.

No comments:

Post a Comment