Terengganu memperuntukkan RM1.2 juta untuk menubuhkan pasukannya bagi bersaing dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) pada musim akan datang.
Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata peruntukan itu meliputi penubuhan pasukan dan juga bayaran insentif kepada pelumba.
"Kita bersetuju untuk tubuhkan pasukan LTdL kita sendiri dan kita akan turut serta dalam kejohanan itu tahun depan. Jadi peruntukan ini adalah permulaan untuk kita tubuhkan pasukan kita," katanya kepada pemberita semalam.
Ahmad berkata ramai anak Terengganu dilihat mempunyai bakat untuk digilap dan menjadi pelumba basikal handalan seperti Anuar Manan yang muncul sebagai 'raja pecut' pada kejohanan LTdL lepas.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Rahin Mohd Said yang dipertanggungjawab menubuhkan pasukan LTdL itu, berkata pasukan LTdL Terengganu dijangka dilancar pada Jun ini.
No comments:
Post a Comment