Wednesday, March 17, 2010

Terengganu Tawar Produk Di Timur Tengah

Oleh Muin Abdul Majid (Bernama)

Pameran Gulfood 2010 yang berlangsung di Dubai baru-baru ini menjadi pembuka mata kepada Terengganu untuk menawarkan pelbagai produk yang boleh mendapat perhatian di pasaran Timur Tengah.

Penyertaan sulung Terengganu ke acara itu diketuai oleh pengerusi jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera.

Beliau membawa bersama kumpulan entiti perniagaan di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu bagi mempamerkan apa yang negeri itu boleh tawarkan kepada bakal pelanggan di rantau berkenaan dan melangkauinya.

Dalam temu bual dengan Bernama di sini, beliau berkata penyertaan berkenaan merupakan sebahagian daripada program Terengganu untuk mempromosikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negeri itu.

Antara produk yang dipamerkan oleh Terengganu di Dubai ialah jus roselle, makanan yang ditinkan, produk penjagaan kulit dan kesihatan berasaskan serai, minuman tenaga dan cuka yang dihasilkan daripada nipah, kopi segera pra campuran dengan ginseng dan Tongkat Ali serta keropok lekor sejuk beku.

"Penyertaan di Gulfood menjadi pembuka mata kepada kami. Kami gembira dengan sambutan hebat terhadap produk kami," kata Mohamed.

Beliau berkata pertemuan dengan Menteri Perdagangan Luar Emiriyah Arab Bersatu, Sheikha Lubna Al Qasimi, terus menambah minat untuk meneroka peluang perniagaan dengan negara Teluk itu dan sekitarnya.

"Selain memperluaskan kehadiran kami di pasaran domestik, kami merasakan terdapat keperluan untuk melebarkan sayap ke seberang laut, seiring dengan Malaysia sebagai negara dagangan penting.

"Untuk memajukan negeri, kami perlu menjadi sebahagian daripada keseluruhan sistem ekonomi negara, termasuk mengeksport produk ke luar negara," kata Mohamed.

Terengganu mahu PKS menyumbang 15 peratus kepada ekonominya menjelang 2013 daripada empat peratus sekarang ini.

Mohamed juga melawat beberapa pasar raya di Dubai bagi menentukan jenis produk yang boleh dijual di sini dan di tempat lain di rantau berkenaan.

"Saya nampak jagung dan rambutan dijual di salah satu pasar raya berkenaan. Kami mempunyai banyak hasil tanaman itu. Saya juga diberitahu bahawa terdapat permintaan yang tinggi bagi ikan seperti tilapia. Selain tilapia, kami juga mempunyai kelah," katanya.

"Terengganu mempunyai banyak produk. Tetapi ada di antaranya perlu ditingkatkan dari segi pembungkusan sebelum dipasarkan," katanya.

Kehadiran pasukan Terengganu di Gulfood 2010 disokong oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Peserta pameran Malaysia yang mengambil bahagian pada pameran perdagangan pada akhir bulan lepas itu, meraih RM7.8 juta dalam pesanan yang disahkan serta potensi jualan bernilai RM32.2 juta, demikian menurut Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Dubai, Datuk Dzulkifli Mahmud.

No comments:

Post a Comment