Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kesal dan kecewa dengan sikap sebahagian rakyat terutama penghuni di bandar raya ini yang masih liat mahu membayar cukai pintu, meskipun kadar bayaran dikenakan adalah sama sejak 29 tahun lalu.
Ahmad Said berkata, disebabkan sikap itu, Kerajaan Negeri terpaksa memberi sokongan berjumlah RM50 juta kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi membantu pembiayaan yang diperlukan sebanyak RM80 juta untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan.
Ketika ditanya mengenai perancangan kerajaan, sama ada berhasrat menaikkan bayaran cukai berkenaan, Ahmad berkata, perkara itu sememangnya telah beberapa kali dibawa untuk proses perbincangan dan kajian.
“Sebenarnya dalam tempoh sepanjang 29 tahun ini, kerajaan telah membuat kajian (menaikkan cukai) sebanyak dua kali, namun setiap kali ia dibincangkan, pelbagai perkara dibangkitkan terhadap kerajaan.
:“Inilah sikap kita. Semua pihak inginkan perubahan tetapi ramai yang masih tidak sanggup mahu berkorban,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Seminar Pemantapan Hala Tuju MBKT di Primula Beach Hotel, semalam.
Menurutnya, sewajarnya rakyat dan penghuni bandar raya perlu menyumbang ke arah: pembangunan bandar dengan melaksanakan tanggungjawab membayar cukai bagi memastikan perancangan pembangunan mampu dilaksanakan secara menyeluruh.
“Jika kita tunai tanggungjawab bayar cukai, banyak perkara boleh dibuat, antaranya menaik taraf kemudahan jalan raya, longkang dan perparitan tetapi kita tidak sanggup menyumbang bayaran yang hanya tidak seberapa dikenakan setiap tahun,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Said turut menjelaskan Kerajaan Negeri giat merancang membina bangunan MBKT yang dijangka dilaksanakan tahun ini.
“Insya-Allah, kita akan laksanakan dalam tempoh terdekat ini, bagaimanapun kita akan pastikan rekaan yang dibuat lebih menarik terutama bahagian pintu hadapan dan peruntukan masih lagi dalam proses perbincangan,” katanya.
No comments:
Post a Comment