Wednesday, March 17, 2010

Sepetang Bersama MB meriah

Menerusi program Sepetang Bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dengan masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kampung Durian Mas, Manir, Kuala Terengganu minggu lalu, acara sukan dan permainan tradisi kembali ditonjolkan.

Walaupun kemunculan Ahmad Said agak tergelincir daripada waktu sepatutnya kerana urusan rasmi lain, penantian hadirin agak berbaloi dengan permainan rakyat yang mencuit hati.

Mata hadirin mula tertumpu kepada kemunculan 13 ‘orang tinggi’ atau kaki hantu yang melangkah menggunakan galah. Begitu juga aksi menarik sekumpulan 13 pemuda dan kanak-kanak menolak tudung tin.

Ada juga yang tampil dengan ‘tapak gajah’ iaitu berjalan memijak tempurung yang diikat dengan tali. Semua itu mewarnai petang di Kampung Durian Mas yang mengubah suasana hening kampung menjadi gegak-gempita.

Selepas itu, barulah tiba Menteri Besar yang diiringi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mazlan Ngah.

Masing-masing memperagakan pakaian ala lelaki kampung sekali gus mendekatkan lagi golongan kenamaan dengan rakyat jelata.

Program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran isteri Menteri Besar, Toh Puan Norliza Mahmud.

Keunikan sambutan itu tidak berakhir di situ saja kerana sejurus sahaja naik ke pentas, Menteri Besar beserta Speaker dan SUK disediakan kerusi antik paling unik yang diperbuat daripada rotan.

Turut diselit, majlis pelancaran program anak angkat, anak yatim dan yatim piatu di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar DUN Manir.

Sebaik selesai majlis perasmian, hadirin sekali lagi mendapat ‘kejutan’ apabila trio pembesar iaitu Ahmad, Tengku Putera dan Mazlan melakukan gimik menanam padi disusuli acara menimba ikan dan pertandingan menangkap ikan di tali air berhampiran.

Demonstrasi membuat laksa dengan alatan tradisional turut dipamerkan di Kampung Durian Mas, Manir, baru-baru ini.

Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail serta Penyelaras DUN Manir, Yusof Awang Hitam turut tidak ketinggalan ‘bergelumang’ di dalam tali air itu.

Acara kemuncak itu mendapat sambutan hangat penduduk sekitar apabila pada sebelah malam hari yang sama, penduduk mengambil peluang menimba ikan beramai-ramai di tali air tersebut.

Sebelum kunjungan Ahmad ke Kampung Durian Mas, beliau sempat menghadiri program sampingan lain iaitu melawat Pusat Perubatan Masyarakat di Dewan Komuniti DUN Manir di Kampung Pulau Bahagia.

Selepas itu, Ahmad bergerak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Menara bagi menyempurnakan acara penyampaian anugerah pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2009 DUN Manir di sekolah berkenaan.

Pastinya, program anjuran bersama Penyelaras UMNO DUN Manir, kerajaan negeri Terengganu, Superb, Bank Simpanan Nasional (BSN), Tabung Haji (TH) serta agensi kerajaan mencatat nostalgia tersendiri.

Permainan rakyat itu diharap dapat merapatkan lagi hubungan rakyat dan pemimpin untuk sama-sama memakmur dan membangunkan kampung dalam suasana yang cukup harmoni.

No comments:

Post a Comment