Tuesday, March 16, 2010

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tidak selamat digunakan?

Kerajaan negeri tidak dapat memberi jaminan sama ada Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) selamat digunakan walaupun selepas sisa runtuhan bumbung dibersihkan kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Rahin Mohd Said, berkata ia kerana tahap keselamatan struktur stadium itu belum dapat dipastikan selepas menerima impak runtuhan yang berlaku pada 2 Jun lalu.

"Saya tidak mahu kata SSMZA boleh digunakan atau tidak kerana kerajaan negeri tidak mahu menanggung risiko sekiranya berlaku apa-apa selepas ia dibersihkan nanti," katanya semalam.

Mengulas kemungkinan stadium itu selamat digunakan selepas beberapa pihak termasuk pengurus dan jurulatih bola sepak merungut keadaan padang Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) yang tidak memuaskan untuk perlawanan Liga Super dan Piala FA.

Sebelum kejadian runtuhan bumbung stadium SSMZA itu, ia dibina untuk temasya Sukan Malaysia 2008, yang digunakan sebagai lokasi kedua-dua pertandingan.

Susulan kejadian itu, semua perlawanan bola sepak diadakan di SSINS walaupun keadaan rumputnya tidak lagi sesuai untuk tujuan tersebut.

Menurut perancangan, SSINS yang berusia lebih 30 tahun itu akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan bandaraya Kuala Terengganu.
Rahin berkata, pemeriksaan lanjut harus dilakukan ke atas struktur bangunan SSMZA bagi melihat kesan runtuhan bumbung seberat 2,500 tan itu.

Terdahulu, Rahin menyampaikan insentif kepada sembilan atlet yang mencatat kejayaan di sukan Asean Paragames Kuala Lumpur 2009.

Masing-masing menerima antara RM300 dan RM2,000.

No comments:

Post a Comment