Penantian 179 peneroka kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh selama lebih 40 tahun berakhir apabila kerajaan meluluskan pemberian geran hak milik tanah kepada mereka, semalam.
Geran itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kepada peneroka bertuah ketika merasmikan penutup Program Juara Rakyat Parlimen Kuala Nerus peringkat DUN Tepoh di Felda Belara, kelmarin.
Ketika ditemui selepas program berakhir, Ahmad Said berkata, masalah geran berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh setahun, membabitkan peneroka di kawasan Banggol Tok Jiring, Bukit Sudu dan Batu 14 di Tepoh.
“Kebanyakan geran ini membabitkan tanah pertanian dan penduduk terpaksa menunggu lama kerana beberapa masalah termasuk borang permohonan yang terlalu banyak sehingga tumpuan tidak dapat diberikan,” katanya.
Sehubungan itu Ahmad berkata, bagi mempercepatkan proses permohonan borang, pemohon digalakkan menggunakan kemudahan e-mohon.
“Kita mahu mempercepatkan permohonan. Memang masalah tanah ini banyak belum selesai dan sering dibincangkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri. Kita akan berusaha menyelesaikannya,” katanya.
Sementara itu, penerima, Sulong Mohd, 80, dari Kampung Wakaf Mesira, Tepoh meluahkan rasa syukur dan gembira di atas penyerahan hak milik geran selepas lebih 40 tahun menantinya dengan penuh sabar.
Menurutnya, tanah seluas 1.6 hektar di Bukit Sudu itu diusahakan dengan tanaman getah dan beliau berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana membantu menyelesaikan masalah hak milik tanah berkenaan selepas sekian lama.
Ismail Mohd, 51, dari Kampung Kedai, Tepoh pula berkata, meskipun bapanya sudah meninggal dunia namun dia gembira kerana tanah seluas 1.6 hektar di Bukit Sudu yang diusahakan arwah kini menjadi hak milik mereka.
“Arwah bapa mendapat tanah berkenaan ketika saya berumur 12 tahun dan selepas bapa meninggal dunia, saya berulang alik ke pejabat tanah selama enam bulan untuk dapatkan hak milik sebelum berjumpa dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh (Muhammah Ramli Nuh), “ katanya.
No comments:
Post a Comment