Monday, April 5, 2010

Balai Polis Paka bertanding peringkat Asia

Pemilihan Balai Polis Paka, Dungun, sebagai Balai Polis Cemerlang peringkat Malaysia memberi peluang terbaik kepada ketua balai berkenaan membuat lawatan ke beberapa balai polis di Melbourne, Australia.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komosioner Hamzah Md Jamil berkata, peluang itu diberikan sebagai persiapan awal menyertai pertandingan peringkat Asia.

“Ini sebab, daripada 837 balai polis seluruh negara, hanya 133 layak dipertandingkan tetapi daripada jumlah itu, Terengganu bernasib baik untuk berada dalam kelompok terbaik secara keseluruhan.

“Kami akan memastikan balai polis ini menjadi contoh kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana melalui penilaian dibuat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), masyarakat berpuas hati dengan layanan diberikan, selain kemudahan kepada orang kurang upaya (OKU) turut disediakan,” katanya.

Hamzah berkata, pasukan polis negeri ini akan terus mengorak langkah dan mengambil pelbagai pendekatan mengurangkan masalah jenayah membabitkan dadah, samseng jalanan serta masalah sosial.

Menurutnya, semua pegawai dan anggota diberi arahan melaksanakan tugasan berpaksikan kepada maklumat kukuh sebelum mengambil tindakan.

“Sepanjang 2009, kontinjen Terengganu diiktiraf pasukan terbaik berbanding kontinjen lain dan kita akan mengekalkannya untuk tahun berikutnya,” katanya.

Hamzah berkata, bagi cawangan narkotik pula, mereka akan menumpukan kepada masalah pengedaran dadah agar Terengganu tidak dijadikan negeri sasaran memasarkan dadah di kawasan setempat.

“Sekarang ini pun, kita sentiasa bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) bagi mencegah pengambilan dadah dari semua peringkat,” katanya.

No comments:

Post a Comment