Ahmad Said berbual dengan kakitangan PTG ketika meninjau jabatan itu di Wisma Darul Iman, Januari lalu.
Kerajaan Terengganu akan segera menangani dan menyelesaikan masalah permohonan tanah oleh rakyat negeri menerusi sistem e-Mohon yang diwujudkan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata e-Mohon ialah sistem permohonan yang diproses melalui komputer bagi mempercepatkan permohonan.
Ia sebagai pendemokrasian pengagihan tanah kepada rakyat yang masih tidak mempunyai tanah.
"Permohonan untuk mendapatkan tanah daripada rakyat terlalu banyak, itu pasal jadi lambat untuk diselesaikan dan kita wujudkan e-Mohon supaya ia dapat dipercepatkan.
Selain itu kita mahu lihat juga mereka yang memohon tanah (pertanian), mengusahakannya atau tidak, kalau tak usaha, kita tak akan bagi," katanya selepas menutup program Juara Rakyat Parlimen Kuala Nerus, Bulan Agensi Kerajaan di Felda Chalok.
Pada majlis itu, seramai 179 pemohon diberi geran tanah pertanian dan tapak rumah masing-masing bagi kawasan Kuala Nerus yang dipohon sejak sekian lama dan ada antaranya sejak 40 tahun lalu.
Ahmad Said berkata permohonan tanah daripada rakyat berlaku setiap masa.
Berikutan itu kerajaan perlu meneliti tanah-tanah yang dipohon sebelum permohonan itu diluluskan, dengan keutamaan diberikan kepada keluarga yang tidak mempunyai tanah khususnya tapak kediaman.
No comments:
Post a Comment