Sunday, April 4, 2010

Ada usaha melaga-laga Exco, MB?

Cakap-cakap politik di Terengganu mengatakan ada seorang Exco sedang berusaha menjatuhkan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Cakap-cakap ini sengaja dipanjangkan untuk mewujudkan suasana ‘bermasam muka’ antara Exco dan Menteri Besar.

Siapa punya cerita tidak diketahui. Yang pasti berita itu sudah sampai ke telinga Menteri Besar sendiri.

Juga yang pasti ia tidak disebarkan oleh pihak pembangkang, khususnya PAS. Cara sebegini tidak akan dilakukan oleh PAS yang sudah pun mengisytiharkan bahawa cara mereka mengambil alih kerajaan adalah melalui pilihan raya.

Menurut khabar itu, Exco kanan itu dikatakan cuba ‘menangguk di air keruh’ pada ketika Ahmad Said dikatakan tidak mendapat sokongan sebahagian ADUN yang dulunya berada dalam Kumpulan 10.

Ketika ini dikatakan hanya lima ADUN sahaja yang dikatakan masih berkeras tidak mahu ‘tunduk’ kepada Ahmad Said walaupun sudah dinasihatkan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Lima ADUN berkenaan dikatakan turut ‘memulaukan’ majlis precouncil sempena Sidang DUN yang akan bermula esok (Isnin) hingga Khamis ini.

Exco yang dikatakan cuba menjatuhkan Menteri Besar itu dikatakan sering mendapat kepercayaan Ahmad Said untuk mewakili beliau pada majlis rasmi. Bagaimanapun Exco berkenaan menafikan beliau tahu dan memang dikaitkan dengan usaha itu.


Cakap-cakap seperti ini berlegar di sekitar Kuala Terengganu sejak dua minggu lalu.
“Saya hairan bagaimana berita ini boleh disebarkan sedangkan saya berdiri teguh menyokong Menteri Besar.

“Saya dilantik menjadi Exco oleh Menteri Besar dan tidak ada sebab menentang atau mengkhianati beliau,” katanya kelmarin.

Difahamkan, Exco berkenaan bertemu Menteri Besar sebelum mesyuarat Exco di Hilton Sentral Kuala Lumpur petang Rabu lalu.

Beliau terkejut dengan khabar berkenaan dan sudahpun menyatakan kedudukan sebenar beliau kepada Menteri Besar.

“Menteri Besar nasihatkan saya jangan pedulikan khabar berkenaan. Ia sengaja diadakan,” katanya.

Menurut seorang politik veteran, khabar ini sengaja disebarkan oleh pihak tertentu yang tidak puas hati dengan kegagalan mereka menjatuhkan Ahmad Said melalui cara kotor sebelum ini.

“Mereka merubah taktik selepas gagal untuk mengadakan undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana tidak mendapat sokongan PAS,” katanya.

Apabila usaha mereka secara berdepan gagal, kumpulan yang tidak senang dengan Ahmad Said kini menggunakan taktik baru iaitu cuba melaga-lagakan antara Menteri Besar dan Exconya.

Malah, menurut beberapa sumber, usaha untuk memalu dan menggugat Ahmad Said tidak akan terhenti walaupun perkara ini kini pada pengetahuan Perdana Menteri.

Difahamkan pada pertemuan Ahmad Said dan Datuk Seri Mohd Najib Razak tempoh hari, isu empat atau lima ADUN yang masih menentang Menteri Besar turut dibincangkan.

Difahamkan juga, Perdana Menteri akan menangangi isu ini bagi menjamin politik Terengganu terus stabil bagi menjamin BN menang cemerlang pada pilihan raya umum ke 13.

No comments:

Post a Comment