Kerajaan negeri akan menjadikan kawasan perindustrian Batu Rakit dekat Kuala Terengganu sebagai pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negeri bertaraf antarabangsa dan tercanggih di Pantai Timur di tapak seluas 60 hektar.
Penubuhan pusat itu yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini akan dilengkapkan dengan beberapa komponen seperti Pusat Animasi Global, Pusat Antarabangsa Pertukaran Perniagaan Digital, Stesen Pendaratan Kabel dan Pusat Data.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata projek itu adalah satu daripada empat komponen projek pembangunan ICT di negeri ini yang dirancang kerajaan negeri.
Katanya, tiga lagi komponen yang menjadi fokus pembangunan ICT di negeri ini membabitkan projek e-kerajaan, Bestari.com bagi komponen sosial dan e-Farm bagi komponen pelajaran dan sumber manusia.
“Setiap komponen ini saling memberi sokongan satu sama lain bagi menjayakan projek pembangunan ICT termaju di negeri ini.
“Hasrat kita untuk melihat projek pembangunan ICT negeri ini mencapai sasaran dan seluruh rakyat negeri ini memanfaat sepenuhnya penggunaan ICT dalam urusan kerja seharian,” katanya pada perasmian Karnival ICT dan Multimedia Terengganu 2010 di sini, kelmarin. Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman.
Karnival itu yang ditaja bersama oleh Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dengan kerjasama kerajaan negeri berlangsung selama empat hari yang dipenuhi dengan pameran dan seminar mengenai ICT dan multimedia kepada pelajar.
Ahmad Said berkata, kerajaan negeri yang kini memberi fokus kepada pembangunan ICT dan multimedia kerana hampir semua urusan harian sekarang dalam era dunia moden menggunakan kemudahan berkenaan.
Katanya, dalam soal ini kerajaan Terengganu tidak mahu ketinggalan dan mahu menjadikan bidang ICT juga sebagai peluang kerjaya baru kepada rakyat negeri ini.
“Sebenarnya kerajaan negeri sudah menjadikan bidang ICT dan multimedia ini sebagai pemangkin dalam merangsang agenda pembangunan negeri ini,” katanya.
Sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment