Saturday, April 3, 2010

Martabat pembelajaran al-Quran

Kerajaan Negeri akan terus memartabatkan pembelajaran al-Quran membabitkan semua peringkat, sama ada sekolah rendah, menengah mahupun institusi pendidikan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, dalam pembelajaran al-Quran akan ditekankan aspek kajian supaya generasi muda meminati serta mengaplikasikannya sebagai panduan hidup.

“Setakat ini, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sentiasa bersedia dan mengalu-alukan penganjuran majlis tilawah serta hafazan bagi mencari bakat baru yang boleh diketengahkan.

“Ini sebab, masih ramai lagi anak muda di negeri ini tidak boleh membaca al-Quran walaupun banyak kemudahan disediakan di surau ataupun masjid serta tenaga pengajar terlatih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Menghafaz al-Quran peringkat negeri Terengganu di Auditorium JHEAT, Kompleks Seri Iman, di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menurutnya, bagi memelihara keagungan al-Quran di negeri ini, galakan ibu bapa sangat penting bagi menarik minat anak menghayati dan membaca al-Quran dengan baik.

"Segelintir ibu bapa yang menganggap anak kecil tidak sesuai belajar al-Quran pada usia muda tidak boleh dijadikan alasan kerana ia menyekat minat anak kelak.

“Jika boleh biarlah lebih ramai hafiz dan hafizah dapat dilahirkan di negeri ini kerana sekitar 1960-an, Terengganu pernah menjadi tempat tumpuan pembelajaran al-Quran, malah ramai tokoh agama berjaya mencipta nama,” katanya.

Sementara itu Khazan berkata, pembabitan generasi baru pada program imam muda juga perlu digalakkan bagi melahirkan pelapis yang boleh memimpin masyarakat setempat dalam aspek agama.

“Kita tidak mahu tumpuan diberikan kepada golongan berusia sahaja kerana hasrat Kerajaan Negeri menyeimbangkan keperluan agama terhadap semua peringkat usia,” katanya.

No comments:

Post a Comment