Penjaga gawang Kedah, Helmi Eliza Elias berpendapat Terengganu mampu menghukum pasukan Hijau Kuning, jika tidak berhati-hati.
Ini kerana, Terengganu mempunyai rekod yang baik pada peringkat suku akhir, apabila menundukkan T-Team.
Helmi, yang pernah dinobat 'Penjaga Gol Popular' dan 'Pemain Paling Bernilai' pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2007-2008, amat fokus pada perlawanan hari ini.
Dia mahu mengelak kesilapan yang boleh mengundang padah kepada pasukannya.
Kedah berpeluang cerah untuk mara ke pentas akhir Piala FA buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun, selepas berkelebihan dua gol apabila menumpaskan Terengganu 2-0 pada separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Selasa lalu.
Kerana itu, ketika bekalan dua gol menjadi sandaran Kedah, Helmi pasti menjadi antara tonggak penting untuk mengekalkan kelebihan itu menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang Terengganu di Stadium Darul Aman, hari ini.
Selain peranan yang sama penting 10 lagi rakannya di atas padang, kem Hijau Kuning semestinya mengharapkan aksi terbaik Helmi, sebagai benteng terakhir Kedah, dalam usaha mengekang asakan Terengganu yang akan berhabis-habisan memburu gol.
Menyedari tugas berat yang bakal dipikulnya, penjaga gol berusia 27 tahun itu berazam memanfaatkan segala kemampuan dan kebolehannya mengawal gawang, agar tidak dibolosi jentera serangan skuad Penyu.
Justeru, dia akan memberikan komitmen seratus peratus dan berusaha sebaik mungkin bersama rakan-rakan sepasukan dalam misi mahu melangkah ke perlawanan akhir.
Pada masa sama, pemain kelahiran Alor Setar itu tidak rela membiarkan suasana perlawanan termasuk sebarang 'perang psikologi' pemain dan penyokong lawan menganggu tumpuannya.
"Saya yakin rakan sepasukan akan berjuang habis-habisan, kami akan saling membantu dalam usaha memastikan impian ke final tercapai.
"Kami bermain bukan hanya untuk mempertahankan kelebihan gol, tetapi mahu menambah lagi jaringan," katanya.
No comments:
Post a Comment