Sunday, April 4, 2010

Besarkan Mini Zoo Kemaman

Kerajaan Terengganu berhasrat untuk memperluaskan lagi kawasan Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman di Bukit Takar di sini daripada lebih 15 hektar kepada 120 hektar berikutan sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, sejak dibuka pada 11 April tahun lepas, mini zoo terbabit menerima seramai 114,000 pengunjung dengan kutipan jualan tiket mencecah lebih RM550,000.

"Jadi dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi kita akan besarkan lagi kawasan mini zoo sedia ada dan menambah pelbagai lagi spesies haiwan untuk menarik kehadiran pengunjung ke sini," katanya di Kemaman kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan dua ekor Harimau Malaya daripada Penolong Pegawai Veterinar Zoo Melaka, Jawahir Jaafar mewakili pihak pengurusan Zoo Melaka kepada Mini Zoo Kemaman yang diwakili oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, A Rahman Yahya.

Sepasang Harimau Malaya itu iaitu harimau jantan, Chiko berusia dua tahun dan harimau betina yang dinamakan Courtney, tujuh tahun, masing-masing seberat lebih 70 kilogram dan 100 kilogram, yang dijangka akan menjadi daya tarikan baru pengunjung untuk ke mini zoo itu.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerja-kerja memagar kawasan seluas 120 hektar itu sedang giat dilakukan dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

"Malah kerja-kerja pembinaan sangkar juga sedang giat dilakukan untuk menempatkan lebih banyak haiwan di mini zoo ini termasuk singa, burung cenderawasih dan harimau bangal," katanya.

Menurut Ahmad, pada masa ini terdapat 74 spesis haiwan dan burung dengan hampir 200 ekor haiwan berada di zoo terbabit.

Sehubungan dengan daya tarikan terbaru mini zoo itu juga, pihak pengurusan bercadang untuk menaikkan harga tiket daripada RM3 untuk kanak-kanak dan RM5 untuk dewasa kepada RM5 dan RM10 pada pertengahan April ini bagi menampung kos penyelenggaraan dan pengurusan.

Katanya, bilangan pengunjung juga dijangka meningkat 100 peratus dan jualan tiket dijangka mencecah RM1 juta dalam tempoh setahun.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang mencari penaja kedua-dua ekor Harimau Malaya berkenaan atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni. -

No comments:

Post a Comment