Sunday, April 4, 2010

Hospital Besut perlu dinaik taraf pakar

Sudah tiba masa bagi Hospital Besut di Jertih dinaik taraf menjadi hospital pakar bagi menampung keperluan kesihatan masyarakat ekoran kepesatan pembangunan dan pertambahan penduduk daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kesihatan mengenai perkara itu.

Katanya, cadangan pembukaan sebuah kolej perubatan di Taman Ilmu nanti juga membolehkan Hospital Besut yang sudah mempunyai dewan pembedahan menjadi tempat sesuai bagi doktor pelatih menjalankan tugasan mereka.

"Jika segalanya berjalan lancar, Hospital Besut akan menjadi hospital ketiga yang dinaik taraf sebagai hospital pakar selepas Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu dan Hospital Kemaman," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian program Jururawat Bersama Masyarakat peringkat daerah Besut dan Hari Terbuka Hospital Besut di Jerteh kelmarin.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Mohamad Omar dan Pengarah Hospital Besut, Dr. Haniah Yusof.

Beliau memberitahu, pesakit kronik yang memerlukan pembedahan kecemasan tidak perlu lagi dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

No comments:

Post a Comment